AMANAH bantu gerak kerja MAIWP, kerjasama dengan Penyelaras JAWI

AMANAH Wilayah Persekutuan dalam kunjungan hormat di MAIWP di Bangunan Perkim, Jalan Ipoh.

AMANAH Wilayah Persekutuan menyarankan usaha lebih agresif dibuat dalam mempromosi kesemua 28 Skim Bantuan Zakat yang diuruskan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Baitulmal.

Naib Pengerusinya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, syor tersebut telah disampaikan kepada pihak MAIWP dalam kunjungan hormat AMANAH Wilayah Persekutuan di Bangunan Perkim, Jalan Ipoh baru-baru ini.

Beliau berkata, skim-skim bantuan terbabit memberi manfaat besar jika sampai kepada golongan sasaran terutama miskin bandar seperti di kawasan Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Kami menawarkan bantuan untuk menyebarluaskan info ini supaya sampai kepada masyarakat, khususnya melalui siri program kebajikan yang dianjurkan oleh jaringan AMANAH di peringkat Kawasan,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Timbalan Ketua AMANAH Titiwangsa itu berkata, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIWP, Abdul Aziz Jusoh dalam pertemuan itu juga memberitahu semua pegawai dan kakitangan agensi itu telah diingatkan supaya patuh dan mengikut arahan kerajaan sedia ada.

“MAIWP akan membuat program penerangan di setiap kawasan Parlimen selepas Hari Raya ini untuk mempromosi skim bantuan yang ditawarkan kepada mereka yang layak iaitu asnaf.

“CEO MAIWP juga menerangkan institusi-institusi kebajikan, pendidikan, perlindungan dan perubatan di bawah MAIWP serta syarikat-syarikat milik MAIWP.

“Beliau juga menjelaskan jumlah perbelanjaan MAIWP setiap bulan kepada golongan asnaf di kawasan tersebut.

“Perjumpaan diketuai Pengerusi AMANAH Wilayah, Dr Hatta Ramli itu diakhiri dengan komitmen kedua-dua pihak untuk terus menjalinkan kerjasama dalam perkara-perkara yang melibatkan hal ehwal umat Islam di Wilayah Persekutuan,” kongsi Ahmad Zamri.

Lapor terus

Turut dikunjungi AMANAH Wilayah Persekutuan, 4 Jun lalu adalah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang berperanan melaksanakan dasar.

Berbanding MAIWP yang berperanan sebagai pembuat dasar dan bertanggungjawab menguruskan kutipan serta agihan zakat, JAWI pula terlibat dalam hal berkaitan penguatkuasaan, pembangunan, nikah kahwin dan urusan keluarga serta dakwah.

Dalam pertemuan dengan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail yang juga Setiausaha MAIWP, AMANAH Wilayah Persekutuan dimaklumkan tentang wujudnya 84 masjid dan 110 surau Jumaat di bawah JAWI.

Kesemua bangunan ibadat penganut Islam itu dibahagikan kepada enam zon pentadbiran dengan senarai kesemua Penyelaras Zon telah diberikan kepada AMANAH Wilayah Persekutuan.

“Pengarah memaklumkan nama-nama pengerusi surau dan masjid telah diangkat dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Pelantikan mereka akan bermula 15 Jun ini untuk selama dua tahun hingga 2020.

“Hanya tinggal 19 masjid dan 26 surau Jumaat di sekitar Setiawangsa dan Bandar Tun Razak yang masih belum dimuktamadkan,” kata Ahmad Zamri.

Beliau turut memberitahu Mohd Ajib memberi jaminan bahawa mereka akan sentiasa membuat pemantauan ke atas pengerusi masjid dan surau itu dari semasa ke semasa.

“Jika ada pengerusi yang bermasalah, Pengarah minta ia segera dilaporkan terus kepada beliau. Selepas selesai pelantikan pengerusi-pengerusi itu nanti, JAWI akan membuat perjumpaan dengan mereka terbabit.

“Mereka akan dipesan supaya sentiasa memelihara kesucian surau dan masjid (neutral) dari anasir-anasir politik perpecahan serta sentiasa mengikut polisi yg digariskan oleh government of the day.

“Perjumpaan berakhir hampir jam 5 petang dengan kedua-dua pihak berharap pertemuan dan kerjasama dapat diteruskan untuk kebaikan ummah khususnya umat Islam di bandaraya Kuala Lumpur ini,” ujar Ahmad Zamri.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan kesemua Penyelaras JAWI di enam Zon pentadbiran terbabit dalam tempoh yang terdekat.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote