Malaysia Dateline

AMANAH barua DAP: ‘Super walaun swastakan otak mereka’

Pentaksub Pas yang digelar ‘super walaun’ dianggap tidak mampu berfikir dan menilai kebenaran sehingga terus melabel AMANAH sebagai budak suruhan atau barua kepada DAP.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ustaz Ridzwan Abu Bakar menyifatkan golongan tersebut sanggup membiarkan orang lain berfikir bagi pihaknya.

Walau bagaimanapun, beliau dalam masa sama mengakui persepsi itu juga wujud berkemungkinan usaha dari segi pencerahan masih belum dilipatkaligandakan.

Beliau berkata demikian dalam slot bual santai di saluran YouTube, Studio Tingkat 4 ketika ditanya moderator, Adesyam berkenaan tanggapan AMANAH kononnya barua DAP.

“Ada dua kemungkinan. Pertama, kerana mereka ini ‘super walaun’ yang menswastakan otak mereka. Orang lain yang berfikir bagi pihak dia.

“Kemungkinan kedua, usaha kita belum sampai tahap maksimum untuk membetulkan tanggapan umum kepada kita (AMANAH),” jelasnya.

Dalam slot sama, beliau turut berpendapat Umno dan Pas sebenarnya tidak berbicara tentang Melayu dan Islam secara keseluruhan sebaliknya membawa naratif yang terpesong.

Mandat rakyat

Ditanya tentang keperluan Pakatan Harapan mendapatkan kembali mandat yang dirampas Perikatan Nasional (PN), Ustaz Ridzwan menegaskan hal tersebut perlu dilakukan segera bukannya menunggu PRU-15.

“Kalau kita tidak mengambil semula kuasa kita akan memberikan hal tidak baik kepada masyarakat Malaysia seakan-akan nilai undi rakyat tidak ada.

“Mereka keluar mengundi dan selepas itu terserah kepada wakil-wakil mereka untuk berbuat apa sahaja.

“Akhirnya wakil rakyat seperti berada di pasaran terbuka untuk dijual beli. Kita perlu ambil semula (mandat),” tegasnya lagi.