Malaysia Dateline

AMANAH Batu Sapi, Sandakan bantu 300 murid menerusi program ‘Back To School’

Menjelang musim persekolahan yang akan tiba tidak lama lagi, Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Batu Sapi, Sandakan Sabah, mengambil inisiatif meringankan beban kira-kira 300 murid yang kurang berkemampuan menerusi program dinamakan ‘Back To School’.

Program tersebut telah berjalan dengan jayanya di lima buah sekolah sekitar Batu Sapi pada Khamis lalu, dan mensasarkan bantuan seperti baju, kasut dan perkakas persekolahan.

Ketua AMANAH Kawasan Batu Sapi, Abdul Haris Bahar berkata, pihaknya komited terutamanya dalam usaha untuk meningkatkan prestasi pembelajaran murid-murid supaya mereka konsisten menghasilkan keputusan yang baik.

“Kami juga komited memberi dorongan kepada mereka (murid-murid) supaya terus bersemangat untuk meneruskan sesi persekolahan, sekali gus mencapai keputusan yang baik dari segi pembangunan sahsiah dan pembelajaran.

“Untuk makluman juga, program ‘Back To School’ ini telah lama dirancang bertujuan membantu murid-murid di kawasan Batu Sapi yang kurang berkemampuan untuk mereka menghadapi sesi persekolahan yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Abdul Haris Bahar yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Sabah berkata, pihaknya berjanji akan berusaha untuk meneruskan program murni seperti ini pada masa akan datang demi membantu golongan yang memerlukan.

“Selain berhasrat untuk meneruskan program yang sama, kami juga akan berusaha menambah jumlah bilangan penerima bantuan perkakas persekolahan pada masa akan datang.

“Justeru, kami dari AMANAH Batu Sapi ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam usaha menjayakan program ini termasuk pihak-pihak sekolah yang bekerjasama menyediakan senarai nama penerima dalam kalangan anak-anak murid mereka,” katanya lagi.