Amanah bawa kempen ‘Ramatan Lil Alamin’ di Kuala Kangsar

Amanah bawa kempen ‘Ramatan Lil Alamin’ di Kuala Kangsar

Tiada beza kempen pilihan raya dalam bulan Ramadhan atau sebaliknya kerana Parti Amanah Negara (Amanah) mengemukakan konsep Rahmatan Lil Alamin (rahmat untuk seluruh alam) dalam berkempen, kata Timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa Amanah mempamerkan budaya hormat menghormati dan meraikan semua perbezaan pada setiap masa, bukan sahaja dalam bulan Ramadhan.

“Ramadhan tak Ramadhan kita berkempen dengan konsep Rahmatan Lil Alamin kita hormati pengundi, menghormati semua perbezaan, kita kemukakan politik baru, politik yang lebih matang yang lebih sesuai dalam budaya Malaysia.

“Bila kita meletakkan konsep Rahmatan Lil Alamin maknanya konsep ini sesuai sepanjang zaman tak ada beza bulan Ramadhan atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas selesai penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak, Kuala Kansar hari ini.

Diminta mengulas mengenai pertandingan empat penjuru dalam PRK kali ini, beliau berkata semua pihak ada peluang untuk berkempen dan ia merupakan peluang kepada Amanah untuk mempamerkan imejnya.

“Empat penjuru jadi semua ada peluang untuk berkempen dan kita rasa ini adalah penting untuk Amanah menampilkan imej kami.

“Ini peluang terbaik jadi kita kemukakan calon terbaik dan biarkan rakyat membuat pilihan.

PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Amanah, Pas, BN dan seorang calon bebas.

Amanah yang diwakili Prof Dr Ahmad Termizi Ramli akan berdepan dengan calon BN Mastura Mohd Yazid, Dr Najihatussalehah Ahmad yang mewakili Pas, dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Nama kempat- empat calon itu diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria kira-kira jam 10.45 pagi tadi.

Sebelum itu, seorang ahli perniagaan dan juga peguam Datuk Abu Backer Sidek hadir ke pusat penamaan untuk bertanding sebagai calon bebas, namun menarik diri kerana mendakwa tidak berpuas hari dengan sistem SPR.

TAGS