Malaysia Dateline

AMANAH beriltizam perjuang kebajikan rakyat bawahanĀ 

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menegaskan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu beriltizam memperjuangkan golongan 40 peratus berpendapatan terendah dalam kalangan rakyat (B40).

Menurutnya, rakyat bawahan tidak harus dimangsakan dalam langkah kerajaan berjimat cermat pada masa ini.

“Terutama penduduk luar bandar yang terdiri daripada petani, nelayan, peneroka, pekebun kecil, penanam padi.

“AMANAH akan terus komited memperjuangkan agar kebajikan mereka lebih terpelihara di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

“Mereka inilah golongan yang paling terhimpit dengan keadaan ekonomi semasa,” jelasnya ketika Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional AMANAH 2018 di Ipoh pagi ini.

Sehubungan itu, ujarnya, AMANAH amat menghargai pengumuman terbaharu kerajaan untuk menaikkan harga lantai getah kepada RM2.50 sekilogram dan juga kenaikan skim harga subsidi padi kepada RM360 bagi satu tan.

Konvensyen Nasional AMANAH tahun ketiga ini yang berlangsung sehingga 16 Disember turut dihadiri wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik luar negara dan kedutaan.