Malaysia Dateline

AMANAH berjuang atas prinsip, lompat parti hanya mahu untungkan diri

Tidak lagi menjadi sebahagian daripada pemerintah, AMANAH terus diuji dengan pendedahan demi pendedahan pimpinan parti yang pernah diajak untuk menyertai pembentukan kerajaan baharu yang meninggalkan DAP.

Namun, kebimbangan juga timbul dalam kalangan ahli yang mungkin akan meninggalkan parti tatkala usia penubuhan AMANAH hampir memasuki lima tahun.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, berkata, sifat setiakawan AMANAH sememangnya boleh dibanggakan namun terpulang pada ahli yang mahu meninggalkan perjuangan oleh kerana parti itu tidak lagi memerintah.

Malah, sekiranya keadaan itu berlaku, katanya, tiada beza antara mereka yang menyertai AMANAH atas dasar ingin menguntungkan diri sendiri dengan kelompok yang melompat parti.

“Terpulang kepada mereka (mahu lompat parti). Sebab AMANAH ini parti yang berjuang atas prinsip. Kalau mereka rasa tidak selesa sebab kita jadi pembangkang, itu pilihan dia.

“Kalau mereka menyertai atas dasar oportunis sebab AMANAH jadi kerajaan parti memerintah, tidak ada beza antara mereka dengan mereka yang ‘lompat’ (parti).

“Jadi, teruskan lompat, kita kecewalah. Tapi apa kita nak buat, kita pun tidak mahu orang yang hanya datang beramai-ramai datang untuk rebut jawatan dan manfaat daripada keberadaan AMANAH dalam kerajaan,” katanya dalam temubual bersama Malaysia Dateline baru-baru ini.

Sebelum ini, didedahkan bahawa usaha memujuk para Ahli Parlimen AMANAH agar menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini dijalankan oleh para isteri.

Turut menjadi sasaran adalah isteri kepada bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Malah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dalam ceramah jelajah Harapannya semalam turut memberitahu, beliau pernah dipanggil bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) dan meninggalkan DAP.

Justeru, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, apa yang diharapkan agar ahli teguh berpegang pada dasar dan prinsip perjuangan.

Malah katanya, sekiranya keadaan menyaksikan adanya ahli yang melompat parti, ia juga merupakan satu proses pembersihan yang ada manfaatnya.

“Kalau begitulah pendirian bagi ahli yang menyertai AMANAH, mereka kena tanya diri sendirilah. Mereka jadi ahli AMANAH ini atas sebab apa dan kenapa.

“Kita harap semua yang diamanahkan akan hayati prinsip keamanahan itu, barulah layak dilihat sebagai pemimpin dalam parti AMANAH,” jelasnya lagi.