Malaysia Dateline

AMANAH berpontensi tumbangkan GPS di DUN Demak Laut

Parti AMANAH Negara berpontensi untuk menumbangkan kerusi tradisi Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang diuar-uarkan pada November tahun ini.

Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak, Hud Andri Zulkarnean berkata, faktor itu bersandarkan dengan kemasukan ahli-ahli baharu di DUN Demak Laut yang semakin bertambah sejak akhir-akhir ini.

Katanya, setakat ini AMANAH Demak Laut telah mempunyai seramai 1,500 ahli termasuk yang masih dalam proses pendaftaran selain penubuhan cawangan baharu yang sedang giat dijalankan.

“Bersandarkan faktor ini, saya yakin AMANAH berupaya meraih keputusan yang positif pada PRN12 nanti.

“Ini ditambah lagi, kita akan menampilkan calon anak muda tempatan yang diakui amat dekat dengan pengundi-pengundi di Demak Laut,” ujarnya ketika mengadakan program santai bersama jentera AMANAH Demak Laut malam tadi.

Hud Andri menambah, selain Demak Laut, DUN lain yang turut menerima penambahan ahli yang ramai ialah Kabong, Semop, Kuala Rajang,Sebuyau dan Jemoreng.

Jelas beliau lagi, di DUN Sebuyau kebanyakan ahli baharu adalah terdiri daripada kalangan kaum Iban dan Cina yang telah menyertai AMANAH baru-baru ini.

“Ini menandakan bahawa AMANAH adalah sebuah parti yang berbilang kaum dan amat bersesuaian dengan politik di Sarawak yang dihuni dengan pelbagai kaum, budaya dan agama selari dengan konsep Rahmatan Lil Alamin,” tegasnya.

Beliau seterusnya mengingatkan agar ahli-ahli AMANAH di Sarawak untuk bersama-sama mengukuhkan barisan dan bekerjasama dalam misi memenangkan calon di kawasan yang ditandingi kelak.

“Janganlah kita berbalah sesama sendiri terutamanya dalam merencanakan persiapan bagi menghadapi PRN12 ini kerana tugas utama ialah kita dapat bersama-sama bekerja kuat bagi memenangkan calon AMANAH di DUN yang bakal ditandingi nanti,” kata Hud Andri.

Turut hadir pada program santai itu ialah Naib Pengerusi 3 AMANAH Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi, Timbalan Pengerusi dan Bendahari AMANAH Cawangan Demak Laut, Mohd Zen Haji Peli dan Iswandy Abdullah serta beberapa jentera parti AMANAH Demak Laut.