Malaysia Dateline

AMANAH berpotensi bertanding di tiga Parlimen Wilayah Persekutuan

Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli sedang berucap dalam Konvensyen Pemuda & AWAN di ibu negara hari ini.

Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan mengingatkan perlunya parti itu bersedia untuk bertanding buat kali pertama di beberapa kerusi Parlimen yang berpotensi ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Asmaalif Abdul Adam berkata, penglibatan sayap tersebut perlu diketengahkan termasuk untuk bertanding di kerusi terbabit.

“Pemuda harus ditonjolkan dengan lebih ketara terutama di kerusi-kerusi yang berpotensi besar untuk ditandingi AMANAH sebagai contoh Titiwangsa, Putrajaya dan Bandar Tun Razak.

“Dengan kemampuan jentera parti yang ditingkatkan, AMANAH mampu meyakinkan rakan Pakatan Harapan (PH) untuk memberi kepercayaan bertanding di tiga buah kerusi yang saya nyatakan di atas,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan dasar Konvensyen Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan kali ke-4 di Hotel Putra, KualaLumpur hari ini.

Turut serentak diadakan Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Wilayah Persekutuan di lokasi sama.

Menjelang PRU-15 juga, Asmaalif menyeru agar persiapan ditingkatkan dan melalui gerak kerja berkesan, jelasnya, Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan mampu menyumbang dengan lebih signifikan.

Mengimbas kembali Langkah Sheraton yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH di Putrajaya, beliau bagaimanapun bersyukur kerajaan PH di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang tidak tergugat.

“Usaha untuk merobek mandat rakyat di Sabah nyaris berlaku namun berjaya dipatahkan dengan semangat kerjasama dan setiakawan kita dan rakan Pakatan Harapan dengan Parti Warisan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan PH perlu kuat sepertimana PRU-14 sehingga berjaya menumbangkan Barisan Nasional yang angkuh berkuasa lebih 60 tahun.

“Kita harus berdiri teguh dan berpadu tenaga untuk menjadi pembangkang yang kuat, bagi memastikan kerajaan Perikatan Nasional yang rapuh ini tidak dapat membuat sesuka hati,” ujar Asmaalif lagi.