Malaysia Dateline

AMANAH, Bersatu, DAP Selangor sokong penuh pengisytiharan Konvensyen PH

Tiga parti gabungan  dalam Pakatan Harapan  yang dianggotai Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada pengistiharan yang dibuat melalui Muafakat Pakatan Harapan (PH) dalam Konvensyen PH  pada Ahad lalu.

Kenyataan bersama itudiwakili oleh Pengerusi AMANAH Selangor Ir Izham Hashim; Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari dan; Pengerusi DAP Selangor Tony Pua.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada pimpinan Pakatan Harapan yang berjaya menganjurkan Konvensyen Pakatan Harapan ke 2 dengan gilang gemilang di IDCC Shah Alam tanggal 7 Januari 2018 yang lalu.
“Sehubungan dengan itu kami juga ingin menegaskan sokongan tidak berbelah bagi terhadap SEMUA perisytiharan yang dibuat di Konvensyen berkenaan.” ujar kenyataan itu hari ini.

AMANAH, Bersatu dan DAP Selangor menyokong pengisytiharan Muafakat Pakatan Harapan seperti berikut:
i. Calon Perdana Menteri Pakatan Harapan bagi pilihan raya umum ke 14 kelak ialah Tun Dr. Mahathir  Mohamad dan calon Timbalan Perdana Menteri ialah Datuk  Seri Wan Azizah  Wan Ismail,
ii. Mengambil segala langkah perlu untuk pembebasan dan pengampunan Datuk Seri Anwar  Ibrahim agar beliau layak sebagai calon Perdana Menteri Malaysia ke 8,
iii. Pengagihan kerusi-kerusi parlimen bagi Semenanjung Malaysia untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Amanah dan PPBM,
iv. Semua tawaran dan manifesto yang telah dibentangkan.

Justeru kenyataan itu juga menyeru seluruh pimpinan, ahli dan penyokong Pakatan Harapan tidak kira samada daripada PKR, DAP, Amanah, atau Bersatu dan daripada NGO-NGO dan orang perseorangan supaya bersatu hati dan tekad untuk melakukan perubahan dalam pilihan raya umum ke 14 akan datang dengan menumbangkan kerajaan  Barisan Nasional dan menggantikan dengan kerajaan Pakatan Harapan demi menyelamatkan rakyat dan negara tercinta.