Malaysia Dateline

AMANAH Bukit Bintang desak tukar Pengerusi PH, Ketua Pembangkang

AMANAH Bukit Bintang mendesak kepimpinan AMANAH dan parti-parti pembangkang yang lain mengambil ketetapan agar mewujudkan semula Pakatan Harapan (PH) Plus dan melantik Pengerusi PH Plus yang baharu.

Ketuanya, Ahmad Asri Talib berkata, ketua pembangkang baharu bagi mengantikan kepimpinan sedia ada juga perlu dilakukan.

“Calon ketua pembangkang mestilah mereka yang dipercayai penuh oleh semua parti pembangkang, sama ada PH mahupun PH Plus.

“Dasar Grand Coalation oleh parti AMANAH perlu direalisasikan dan jangan dibunuh oleh kerana tekanan dari mana-mana pihak.

“Bagi mengembalikan kepercayaan rakyat jelata dan membina kembali kerajaan yang dihormati, maka jalan menukar Ketua Pembangkang adalah jalan terbaik,” jelasnya yang juga mewakili barisan Ahli Jawatankuasa AMANAH Bukit Bintang dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ramai calon boleh diketengahkan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Shafie Afdhal dan mereka yang dipersetujui oleh PH Plus.

Ahmad Asri berkata proses mendapatkan akuan bersumpah (SD) daripada 220 Ahli Parlimen telah menunjukkan calon Perdana Menteri daripada pembangkang tidak mendapat sokongan yang diharapkan.

“Kepercayaan ke atas Ketua Pembangkang yang calonkan oleh PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mampu mengumpul 92 SD sahaja berbanding 114 yang diperolehi oleh Datuk Seri Ismail Sabri,” ujarnya lagi.