Malaysia Dateline

AMANAH cadang kerajaan Johor bincang Belanjawan 2021 dengan mereka

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Aminolhuda Hassan hari ini mengesyorkan kerajaan Johor untuk berbincang soal Belanjawan Johor 2021 dengan pihak mereka.

Pengerusi Pakatan Harapan Johor itu berkata kerajaan perlu memanggil semua ketua-ketua parti di Johor bagi memperhalusi langkah dalam membuat belanjawan di negeri ini.

Ia berikutan keadaan politik di negeri ini yang dikatakan kurang stabil kerana terdapat majoriti yang terlalu tipis di Dewan Negeri (DUN).

“Saya mengsyorkan kepada Menteri Besar (MB) Johor untuk berbincang soal pembentangan Belanjawan Johor 2021 dengan pihak kami dan juga semua parti di negeri ini.

“Apa yang kita mahukan adalah untuk memastikan saluran dana negeri ini dapat dinikmati oleh rakyat dalam berhadapan dengan situasi Covid 19 di negeri ini.

“Fokus kami hanyalah untuk kepentingan rakyat umum selain mengundi untuk meluluskan belanjawan tersebut di sidang Dun yang akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau yang merupakan Ketua Pembangkang Dun Johor turut menjunjung titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong untuk membuat gencatan politik dalam menyelesaikan permasalahan Covid 19 yang sedang melanda negara.

“Kita menjunjung titah dan apa yang pasti perkara ini adalah untuk kebaikan rakyat baik dari segi perkhidmatan dan pengurusan.

“MB perlu berjiwa besar bagi menerima pelawaan ini sebagai suatu cara memudahkan dari belanjawan ini diluluskan ketika pembentangannya nanti.

“Sekali lagi Parti Amanah membuka pintu gencatan politik dalam usaha bersama membangunkan rakyat yang semakin terhimpit dari sudut ekonomi dan sebagainya,”ujarnya lagi.