Malaysia Dateline

Mohamed Hanipa Maidin

AMANAH cadang Pas guna logo pikul memikul dalam PRU 15

Ekoran saranan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mahu AMANAH menggunakan logo DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) , Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin pula mencadangkan Pas menggunakan logo pikul memikul.

Melalui lontaran di facebooknya, Hanipa berkata, logo Pakatan Harapan telahpun diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan ia tidak mengundang masalah isu logo kepada AMANAH mahupun parti komponen dalam Pakatan Harapan.

Bahkan katanya, DAP sendiri tidak akan menggunakan logo parti mereka selagi berada di dalam Pakatan Harapan.

“Even DAP pun insyaAllah tak akan guna logo parti dia sendiri selagi mana kami semua berada dalam famili PH. So, yang mungkin ada masalah nak guna logo yang sama dan satu mungkin parti ehem (Pas) dan BN,” katanya.

Oleh itu, katanya sekiranya Pas dan Umno BN masih belum mempunyai logo bersama untuk PRU nanti beliau mencadangkan agar kedua-dua parti itu menggunakan logo orang sedang memikul sesuatu di atas dacing ketika buan purnama sedang mengambang.

“Ok kan! Saya juga cadang YB pilih cogankata ini” istiqamah kita memikul menuju ke bulan”. Kan menarik!” ujar Hanipa.

Semalam Abdul Hadi menyarankan parti AMANAH supaya bertanding dengan menggunakan logo DAP pada PRU15 memandangkan parti serpihan itu tidak mempunyai kekuatan di kawasan majoriti Melayu.

Abdul Hadi berkata kemenangan AMANAH pada pilihan raya umum lalu kerana sokongan DAP dan bukan atas kekuatan sendiri.

“Amanah pula lebih kepada DAP, sebab itu saya cadang Amanah guna simbol DAP dalam PRU akan datang.

“Pakai simbol DAP untuk sambung talian hayat dia (Amanah), itu lebih penting,” katanya.