Amanah cadang PH kemuka dokumen seperti ‘Buku Jingga’ menjelang PRU14

Amanah cadang PH kemuka dokumen seperti ‘Buku Jingga’ menjelang PRU14

Parti Amanah Negara (Amanah) akan mencadangkan Pakatan Harapan (PH) mengemukan satu tawaran besar kepada rakyat seperti dokumen ‘Buku Jingga’, kata Timbalannya Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, dokumen Buku Jingga sangat berpengaruh kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (2013).

Justeru, perkara ini akan dibawa di dalam mesyuarat PH akan datang supaya satu dokumen yang mengandungi beberapa tawaran dan penyelesaian isu rakyat dapat dikemukan atas nama PH.

“Ia mampu dilaksanakan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) dahulu meskipun hanya berbaki beberapa bulan sebelum parlimen dibubarkan.

“Kepimpinan tertinggi PH hampir setiap hari mengeluarkan kenyataan penting yang sarat dengan idea-idea yang besar dan bernas sama ada dalam ceramah umum, seminar, diskusi dan pertemuan dengan pelbagai segmen dalam masyarakat.

“Ini perlu dihimpun dan didokumentasikan secara tersusun. PH juga memiliki ramai indivudu yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu yang berkemampuan untuk melahirkan gagasan serta tawaran baru kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau juga, perkara-perkara besar yang perlu diselesaikan oleh PH seperti pengagihan kerusi, pemilihan calon-calon yang terbaik serta perancangan strategik boleh diselesaikan secara senyap dan diuruskan secara dalaman parti-parti dalam PH.

“Rakyat terutama anak muda sedang menunggu tawaran besar PH yang munasabah, praktikal dan menyakinkan. Isu-isu besar negara seperti urustadbir negara yang korup, ekonomi yang semakin menghimpit, peluang pekerjaan dan pengganguran yang semakin kritikal, kos sara hidup dan isu keselamatan negara adalah isu-isu besar yang mesti diperjuangkan oleh PH,” katanya.

Beliau juga berkata, di samping satu manifesto bersama yang akan dikemukan oleh PH menjelang PRU14 akan datang, rakyat juga mahu melihat satu tawaran baru yang boleh diletakkan harapan baharu kepada PH untuk mengambil alih teraju pemerintahan negara.

“Pengalaman dalam PR dahulu membuktikan bahawa dokumen tawaran seperti ‘Buku Jingga’ sangat berkesan sehingga menjadi perbualan rakyat sekaligus bahan perbincangan dalam masyarakat.

“PH mesti membuktikan bahawa tawaran PH adalah lebih baik dan lebih menyakinkan,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)