Malaysia Dateline

AMANAH Cawangan Dun Gedong anjur Program Kembali Ke Sekolah 2020

Parti AMANAH Cawangan Dewan Undangan Negeri (Dun)Gedong akan menganjurkan Program Kembali Ke Sekolah 2020 pada 30 November ini bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Kadir Gedong, Simunjan.

Pengerusinya,Koswadi Abang berkata,turut bersama menganjurkan program tersebut ialah Yayasan Taqwa iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO)dari Wilayah Persekutuan.

Katanya, seramai 400 murid-murid di sekitar Dun Gedong bakal menerima bantuan awal persekolahan seperti pakaian sekolah, kasut, beg dan alat-alat tulis.

“Sumbangan itu adalah daripada pihak Yayasan Taqwa yang mana murid-murid sekolah rendah sahaja yang layak menerima.

“Nama-nama murid yang menerima kami terima daripada guru -guru besar sekolah di kawasan Gedong,” jelasnya ketika ditemui di Kuching hari ini.

Jelas beliau, kebanyakan penerima ialah di kalangan murid-murid yang datang dari keluarga kurang berkemampuan kerana rata-ratanya ibubapa mereka merupakan petani.

Justeru tambahnya, dengan adanya bantuan dan sumbangan berkenaan akan dapat meringankan beban orang tua murid-murid itu nanti.

“Alhamdulilah…kami amat berbesar hati apabila Yayasan Taqwa telah memilih kawasan Gedong ini untuk menyalurkan bantuan awal persekolahan.

“Ini kerana,kalau dilihat kepada sumber pendapatan penduduk di sini adalah diakui menurun lebih-lebih lagi pekerjaan utama mereka adalah sebagai petani.

“Maka dengan adanya program bantuan awal persekolahan seperti ini akan dapat meringankan beban kepada masyarakat dan penduduk di sekitar Gedong ini, ” tegas Koswadi.

Sementara itu Penyelaras Program Yayasan Taqwa Muhamad Hafiz Razi berkata,Gedong merupakan antara kawasan yang telah dipilih bagi mengadakan program terbabit.

Katanya, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan merupakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang diberi tanggungjawab melaksanakan program dan aktiviti berkaitan masyarakat di seluruh negara.

“Semoga dengan bantuan dan sumbangan yang diberikan itu dapat mengurangkan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan menjelang musim persekolahan pada tahun depan,” ujarnya.

Hafiz memberitahu, pada tahun lalu Yayasan Taqwa telah mengadakan program yang sama di Kampung Pusa, Kabong dan Saratok.

Tambahnya, untuk program ketiga-tiga kawasan terbabit, pihaknya turut menyampaikan bantuan sebanyak 400 pakaian dan kelengkapan sekolah kepada murid-murid terpilih.

“Alhamdulilah..tahun ini adalah kali kedua program ini diadakan’di Sarawak sekaligus kami berbesar hati untuk meneruskan aktiviti pada tahun-tahun mendatang,”katanya lagi.

Katanya, selain Dun Gedong , program tersebut turut diadakan di Parlimen Tanjung Manis dan Santubong pada tahun ini.

“Bagi kedua-dua program itu, sebanyak 800 murid-murid akan turut menerima bantuan berupa pakaian sekolah, kasut dan alat-alat tulis,” tegasnya.