AMANAH Cawangan Tanjung Manis giatkan Program PekaB40

AMANAH Cawangan  Tanjung Manis giatkan Program PekaB40
Safri Yakup menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima bantuan pada Program Bulanan Peduli AMANAH di Kuala Rajang semalam.

Parti AMANAH Negara Cawangan Tanjung Manis di Sarawak akan mempergiatkan lagi usaha bagi menyampaikan penerangan berkaitan inisiatif dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan di kawasan terbabit.

Pengarah Komunikasi AMANAH Kawasan Tanjung Manis, Haji Safri Yakup berkata, pendidikan dan kesihatan adalah menjadi keutamaan kerajaan agar kesejahteraan penduduk di negara ini sentiasa dipelihara.

Katanya, untuk tujuan itu, AMANAH Cawangan Tanjung Manis telah mengadakan sesi penerangan di seluruh kawasan berkenaan supaya masyarakat dan penduduk mengetahui akan kewujudan inisiatif seperti MySalam dan PekaB40 yang disediakan oleh pihak kerajaan pusat.

“Justeru saya bersama Jawatankuasa AMANAH Cawangan Tanjung Manis fokus bagi menyampaikan penerangan berkaitan inisiatif yang disediakan kerajaan kepada seluruh penduduk di negeri ini, ” ujar beliau ketika menyampaikan sumbangan pada Program Bulanan AMANAH Peduli Cawangan Kuala Rajang di Sarikei,semalam.

Antara penduduk dan penerima yang hadir pada majlis itu semalam.

Pada majlis itu, beliau telah menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas kepada seramai 10 orang terdiri daripada lima golongan asnaf dan orang kelainan upaya (OKU).

Mengenai Program Peduli AMANAH Cawangan Kuala Rajang, Sufri menambah, ia adalah antara aktiviti yang dilaksanakan bagi menyantuni masyarakat dan penduduk di Kurubong-Kerapa dalam kawasan terbabit.

“Alhamdulillah.. Aktiviti ini telah berterusan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN11) lalu dan akan berterusan sehingga bila-bila masa.

“Kami amat komited dalam membantu penduduk dan masyarakat di kawasan ini sekali gus berharap agar sumbangan dan bantuan yang diterima itu meringankan beban mereka, ” jelas beliau lagi.