Malaysia Dateline

AMANAH cipta sejarah tubuh cawangan di Kampung Tabuan Melayu, Sarawak

Parti AMANAH Negara mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menubuhkan cawangan di Kampung Tabuan Melayu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut hari ini.

Pengerusi AMANAH Demak Laut, Khairul Nikman Julaihi, penubuhan cawangan di Kampung Tabuan Melayu amat signifikan kerana ia merupakan kubu kuat bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, dengan tertubuhnya cawangan di kawasan terbabit, ia juga akan memberi peluang untuk menggerakan jentera dalam melaksanakan program dan aktiviti kebajikan nanti.

“Alhamdulilah…kita telah berjaya mencipta sejarah mewujudkan AMANAH Cawangan di Kampung Tabuan Melayu hari ini.

“In shaa Allah dengan adanya cawangan ini, maka mudah bagi kita melaksanakan gerak kerja di peringkat lapangan kelak,” ujarnya.

Khairul Nikman menjelaskan, tambah menarik senarai ahli jawatankuasa penubuhan cawangan di Kampung Tabuan Melayu ialah semuanya golongan wanita.

“Saya rasa, inilah cawangan yang satu-satunya dianggotai semuanya wanita berbanding AMANAH Cawangan lain di Sarawak.

“Justeru, saya melihat ini merupakan perkembangan yang amat baik lebih-lebih lagi apabila mereka turun mengadakan program kebajikan di kawasan Demak Laut nanti,” tambahnya.

Tegas beliau lagi, untuk itu beberapa program telah dirancang dan akan dilaksanakan dalam terdekat ini bagi menarik penyertaan penduduk dan masyarakat setempat.

Sebelum itu, AMANAH Demak Laut telah mengadakan program mengagihkan penutup hidung dan mulut di kampung berkenaan.

Program diketuai oleh Pengerusi IMPISS, Mohamad Ariffin Taha dan Pengerusi Cawangan AMANAH Kampung Tabuan Melayu, Ajibah Bujang.