Malaysia Dateline

AMANAH dan 49 NGO kecam Timbalan Menteri Pas sertai Ekspo 2020 Dubai

AMANAH mengecam tindakan Timbalan Menteri Pas, Ahmad Amzad Hashim yang menaikkan papan iklan besar-besaran di Terengganu mengumumkan penyertaan Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan itu sama sekali tidak sensitif terhadap isu penderitaan rakyat Palestin.

Apatah lagi, tegas Ahli Parlimen Pulau itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menjemput Israel menyertai ekspo berkenaan.

Malah katanya, Palestin telah menarik diri daripada menyertai ekspo tersebut dan keputusan itu dilapor secara meluas oleh media dunia sejak Ogos lalu.

“Bagaimana beliau boleh berbangga dengan penyertaan Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai? Beliau cuba menjustifikasikan penyertaan Malaysia atas alasan kepentingan ekonomi dan perdagangan.

“Apa yang menghairankan lagi ialah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang juga Presiden Pas senyap seribu bahasa dan tidak menasihati kerajaan dengan betul dalam isu ini.

“Jika duta khas dan timbalan menteri dari Pas tidak menasihati kerajaan Melayu Islam dengan baik dalam isu Palestin, apakah hala tuju sebenar kerajaan dalam memimpin umat Islam Malaysia?” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Donald Trump pada Ogos lalu telah mengumumkan UAE dan Israel mencapai perjanjian damai dengan menyifatkan hal itu sebagai bersejarah dan signifikan ke arah mewujudkan keamanan di Asia Barat.

Dalam masa sama, Salahuddin yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH mengulangi pendirian mendesak kerajaan untuk segera menarik diri daripada menyertai Ekspo 2020 Dubai.

Desakan itu turut disertai lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghantar surat terbuka menyuarakan kekesalan terhadap ketidakpekaan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang memasang papan iklan mempromosikan penyertaan kementeriannya di dalam ekspo itu.

Menerusi surat terbuka itu, kesemua 49 NGO terbabit menganggap Ahmad Amzad yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan harus lebih peka dan sedar terhadap perkembangan terkini di Timur Tengah.

Tegas kesemua pertubuhan berkenaan, penyertaan Malaysia menunjukkan bahawa Malaysia bersetuju dengan keputusan UAE untuk menormalkan hubungan dengan negara Israel.

“Ini juga menunjukkan Malaysia terlibat dengan tindakan pihak-pihak tertentu di peringkat antarabangsa yang meneruskan penderitaan rakyat Palestin di tangan Zionis.

“Kami benar-benar kecewa dengan hakikat bahawa setakat ini MOSTI dan kerajaan Malaysia terus berdiam diri kepada seruan agar Ekspo 2020 Dubai diboikot demi menyokong perjuangan membela rakyat Palestin,” tegas mereka lagi.