Malaysia Dateline

AMANAH dan PH punyai peluang di DUN Penaga

AMANAH mempunyai peluang yang besar bagi kawasan Dun Penaga dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang akan datang jika dibandingkan dengan PRU ke-14 yang lalu.

Atas keyakinan inilah Penyelaras Dun kawasan tersebut, Aida Yusof mengatur pelbagai strategi dengan turun padang menyantuni penduduk dalam kawasan yang mempunyai hampir 20 ribu pengundi yang majoritinya adalah pengundi Melayu.

“Mood rakyat kini semakin berubah setelah mereka menyedari pelbagai kesukaran sedang dihadapi ekoran kerajaan PN yang gagal menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan rakyat khususnya golongan bawahan dan B40.

“Namun begitu polisi dan pelbagai program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang ternyata berjaya menambat hati majoriti rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 melalui sokongan berterusan untuk pelbagai golongan masyarakat.

“Apabila turun padang melalui program peduli insan dan ziarah secara rutin kita dapati banyak program kerajaan negeri seperti sumbangan tahunan kepada warga emas, peniaga kecil, orang kurang upaya, guru-guru kafa, sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan juga penarik beca, ibu tunggal, orang kurang upaya dan sebagainya amat membantu meringankan beban yang mereka tanggung, “tegas beliau.

Beliau yang juga merupakan Ketua Wanita AMANAH Pulau Pinang berkata demikian ketika ditemui semasa mengedarkan bubur lambuk kepada penduduk di Penaga.

Kata Aida lagi, berdasarkan turun padang secara bersemuka dengan penduduk dalam kawasan Dun tersebut, mereka sememangnya menyokong polisi dan usaha yang telah pun dilaksanakan oleh kerajaan negeri serta optimis AMANAH mampu mendapat sokongan yang besar dalam PRU yang akan datang.

Dalam PRU yang lalu bagi kawasan Dun Penaga, Pas berjaya mengalahkan Umno apabila berjaya meraih 8530 undi dan Umno 7398 undi setelah calon PPBM yang dicalonkan tidak layak untuk bertanding.