Malaysia Dateline

AMANAH, DAP ajak pembangkang dalam satu pasukan PRU-15

Pakatan Harapan (PH) mengajak pakatan pembangkang untuk fokus membangunkan kesatuan PH Plus yang lebih bersatu agar dapat bertanding sebagai satu pasukan dalam pilihan raya yang akan datang.

Perkara tersebut ditegaskan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, susulan keputusan undi belah bahagian pada Selasa yang menyaksikan pembangkang tewas dengan 108 undi ketika membantah Belanjawan 2021.

Katanya, PH tidak seharusnya membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan yang hanya memperalatkan gabungan itu untuk kepentingan peribadi mereka sendiri demi mendapatkan tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“PH harus berdepan dengan realiti ini, perlunya suatu anjakan politik semula bagi tumpuan kepada menyatukan rakan-rakan kita di kalangan ahli parlimen pembangkang yang berdiri bersama kita pada hari Selasa.

“Pemimpin PH mesti mengetepikan bebanan lampau supaya PH dapat berkembang menjadi PH Plus dengan kekuatan hebat 108 Ahli Parlimen.

“Dengan 108 Ahli Parlimen PH Plus sebagai pakatan yang mantap, apa-apa sahaja kemungkinan boleh berlaku kelak,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Pada masa sama PH berkata, daripada 92 Ahli Parlimen bersekutu PH, parti itu perlu memperluaskan lagi lingkungan mereka untuk menumpukan perhatian kepada 108 anggota Parlimen pembangkang, iaitu PH Plus.

Tegasnya, undian belanjawan tempoh hari telah mengajar mereka untuk tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang lebih daripada 111 MP.

Tambahnya lagi, Ahli Parlimen kerajaan dilihat hanya pandai bermain politik untuk mengaut keuntungan apabila tidak ada satu pun dari mereka yang mengundi bersama PH, termasuk mereka yang dikatakan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“PH seharusnya tidak membuang masa dengan ahli parlimen kerajaan oportunis dan hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi mereka sendiri

“Undian semalam jelas menunjukkan bahawa 108 Ahli Parlimen yang menentang PN adalah jumlah yang sama yang kekal teguh bersama PH pada bulan Mac 2020,” katanya lagi.