Malaysia Dateline

AMANAH, DAP harap PKR kembali kepada keputusan Mesyuarat Majlis Presiden

AMANAH dan DAP mengesa PKR kembali kepada keputusan Mesyuarat Majlis Presiden pada 30 Mei 2020 yang telah dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri iaitu menerima opsyen kedua iaitu menamakan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dalam kenyataan bersama Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook, berkata, mesyuarat tersebut memutuskan bahawa sekiranya opsyen pertama yang mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri tidak berjaya mendapat sokongan yang memungkinkan pengambilalihan kuasa dilakukan, maka opsyen kedua yang menamakan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri akan pula dikemukakan.

“Kami menghormati hak Keadilan untuk menetapkan keputusan mereka berhubung persoalan ini namun kami agak hairan dengan pendirian ini kerana pilihan ini telahpun diterima sebagai opsyen kedua dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Mei 2020 di Ibu pejabat Keadilan.

Setelah berusaha sedaya upaya atau “exhausting all efforts”, AMANAH dan DAP mendapati bahawa opsyen pertama hanya mampu mendapat sokongan maksima 96 Ahli Parlimen, iaitu 91 dari Pakatan Harapan (38 PKR, 42 DAP Dan 11 Amanah) dan 5 lagi termasuk Tun dan 4 Ahli Parlimen PPBM yang bersamanya.

Tambahnya, usaha terakhir Anwar Ibrahim untuk mendapatkan sokongan GPS juga tidak berjaya dan tempoh masa yang dipersetujui telahpun tamat dan gagal mendapat sokongan yang mencukupi.

“Kami berharap usaha untuk mendapatkan sokongan melalui opsyen kedua boleh seterusnya dilakukan sepertimana dipersetujui kerana pentadbiran kerajaan PN adalah jelas mendatangkan kerosakan kepada institusi dan kewangan negara.

Justeru katanya, kenytaan PKR jelas bahawa itu keputusan yang dibuat berhubung keadaan politik semasa, khususnya mengenai persoalan sama ada menerima atau tidak Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri untuk tempoh 6 bulan dalam usaha mengambil balik kerajaan yang telah dirampas melalui tindakan khianat.