Amanah, DAP Sabah sepakat dengan Shafie Apdal jatuhkan BN

Amanah, DAP Sabah sepakat dengan Shafie Apdal jatuhkan BN

Sama seperti DAP Sabah, Amanah negeri itu juga sedia berkerjasama dengan mana-mana parti pembangkang yang mempunyai agenda untuk menjatuhkan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusinya, Hamzah Abdullah berkata, jumlah parti politik di Sabah bukan satu masalah bagi blok pembangkang ketika berdepan dengan pelbagai kepincangan urus tadbir dan penyelewengan dana awam di bawah pemerintahan rejim BN.

“Namun, isu yang mesti ditangani ialah konsensus dalam pembahagian kerusi-kerusi dalam kalangan parti pembangkang,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata demikan mengulas langkah bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal untuk menubuhkan parti politik baru.

Menurut Hamzah, pihaknya mengalu-alukan hasrat Shafie itu dalam rangka mempersiapkan wadah menghadapi Umno-BN pada PRU14 yang dijangka diadakan tahun depan.

Tambahnya lagi, atas matlamat yang sama termasuk memperjuangkan hak untuk rakyat di Sabah selepas 25 tahun dinafikan oleh Umno, Amanah Sabah tiada masalah dengan kewujudan parti baru berkenaan.

Terdahulu, DAP Sabah juga bersedia untuk bekerjasama dengan dengan Shafie dan parti-parti pembangkang negeri itu bagi menumbangkan kerajaan BN.

Dalam perkembangan berkaitan, Shafei yang juga Ahli Parlimen Semporna seperti dipetik dari akhbar Amanah, Bil. 10, 31 Julai – 6 Ogos berkata, ura-ura untuk penubuhan parti baru banyak bergantung kepada rakyat di Sabah.

“Banyak parti banyak kerusi bukan jadi penentu. Namun, jangan pula kita bimbang kerana banyak parti,” ujarnya lagi yang keluar dari Umno pada 4 Julai lalu.

TAGS