Malaysia Dateline

AMANAH, DAP tolak cubaan perjanjian dengan Hamzah Zainuddin

AMANAH dan DAP menolak sebarang cubaan membuat perjanjian dengan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang disifatkan konspirator utama rampasan kuasa Langkah Sheraton.

Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Naib Pengerusi DAP M Kula Segaran dalam kenyataan bersama hari ini berkata, sebarang perjanjian yang dilakukan dengan Hamzah dan mengenepikan Warisan dan kumpulan Dr Mahathir adalah tidak boleh diterima dan tidak berperinsip.

Sebaliknya, kata beliau, sebarang kombinasi parti untuk memulihkan mandat rakyat mestilah melibatkan parti-parti asal ‘Pakatan Harapan Plus’ yang telah mendapat undi dan sokongan rakyat pada 9 Mei 2018.

Parti-parti ini adalah AMANAH, DAP, Parti Keadilan Rakyat, Warisan dan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam parti Bersatu.

AMANAH dan DAP juga berpandangan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Najib Razak dan Hamzah Zainuddin lah yang merupakan dalang jahat merencana rampasan kuasa Langkah Sheraton demi membebaskan pemimpin Umno daripada pendakwaan rasuah dan memberi talian hayat kepada pentadbiran kleptokratik sebelum ini yang dibantah tegas oleh rakyat Malaysia dalam PRU ke-14.

Justeru itu, katanya, tidak boleh ada sebarang rundingan pembentukan kuasa dengan kumpulan pemimpin ini.

“Tidak boleh ada sebarang perjanjian atau cubaan untuk membuat perjanjian dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, konspirator utama rampasan kuasa Langkah Sheraton.

“Sebarang perkiraan yang melibatkan Hamzah, tetapi mengesampingkan Warisan dan kumpulan Dr Mahathir adalah tidak boleh diterima dan tidak berasaskan prinsip,” katanya.

Beliau juga menegaskan penting bagi parti-parti Pakatan Harapan Plus untuk mencapai kesefahaman tentang siapakah musuh sebenar.

AMANAH dan DAP berpegang bahawa Warisan dan kumpulan Dr Mahathir dalam Bersatu bukanlah musuh sebaliknya mereka adalah sekutu dalam perjuangan menentang gabungan kleptokratik Perikatan Nasional.

“Kami ingin supaya rakan-rakan mengetahui siapa sebenarnya kawan dan lawan. Kegagalan membezakan antara kawan dan lawan akan membawa kita ke arah kehancuran yang tidak terbendung.