Malaysia Dateline

AMANAH Demak Laut akan aktifkan jentera pilihan raya

Parti AMANAH Negara Cawangan Demak Laut bakal mengaktifkan jentera pilihan raya dalam masa terdekat ini khususnya dalam memberi penerangan berkaitan isu semasa kepada semua ahli di kawasan.

Timbalan Pengerusinya, Mohamad Zen Haji Peli berkata, selain sesi penerangan, turut diadakan ialah beberapa program yang sedang dirangka bagi mendekati pengundi di kawasan walaupun ia hanya berskala kecil.

Bagaimanapun, menurut beliau sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan selepas 9 Jun ini, pihaknya akan mencari alternatif lain bagi mengadakan program itu dapat dilaksanakan di sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.

“Sebenarnya banyak program yang rancang pada tahun ini ditangguh dan dibatalkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula sejak 18 Mac lalu.

“Justeru, saya berharap sekiranya PKPB tidak dilanjutkan lagi selepas 9 Jun ini, kita akan berusaha sebaik mungkin supaya program yang dirancang itu dapat diadakan secepat mungkin,” ujar beliau ketika ditemui di Kuching hari ini.

Zen menambah, pihaknya hanya mampu berhubung dan berbincang dengan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) melalui kumpulan WhatsApp dan sidang video sepanjang PKP dan PKPB ini.

Kata beliau lagi, pihaknya kini masih berusaha untuk mendaftar ahli-ahli baharu yang semakin bertambah dari masa ke semasa yang dianggarkan seramai 700 orang.

“Alhamdulilah setakat ini AMANAH Cawangan Demak Laut sudahpun mempunyai seramai lebih kurang 3,000 ahli yang berdaftar.

“Selain itu, kita juga masih menanti kelulusan pendaftaran ahli dan cawangan lain yang diuruskan oleh Pejabat AMANAH Negeri Sarawak,” tegasnya.

Tambahnya, ekoran pelaksanaan PKP dan PKPB, segala urusan pendaftaran ahli-ahli baharu sedikit perlahan memandangkan jarak perjalanan ke kampung sekitar Demak Laut untuk berurusan amat terbatas.

“In shaa Allah…kita akan sedaya-upaya memastikan senarai ahli baharu dapat didaftarkan secepat mungkin bagi mengatur gerak kerja sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang dijangka diadakan pada tahun depan,” ujarnya.