Malaysia Dateline

AMANAH Demak Laut mula aktifkan Bilik Gerakan

Parti Amanah Negara (AMANAH) Cawangan Demak Laut, Sarawak mula mengaktifkan Bilik Gerakan bagi melancarkan pergerakan jentera di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.

Menurut Pengerusinya, Khairul Nikman Julaihi, bilik gerakan itu telah pun dibuka sejak 1 September lalu yang terletak di Pusat Commercial Demak Laut, Kuching.

Katanya, setakat ini AMANAH Demak Laut telah menyusun dan merangka program-program yang bakal diadakan dalam masa terdekat ini.

“In shaa Allah…dengan mengaktifkan bilik gerakan ini, ia akan memudahkan jentera parti bagi melaksanakan program dan aktiviti yang dirancang sebelum ini.

“Ini juga memudahkan jentera parti bagi mengadakan mesyuarat serta mengatur gerak kerja di lapangan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN)Ke-12 Sarawak yang dijangka pada hujung tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program mengedarkan penutup hidung dan mulut di Pasar Demak Laut, hari ini.

Khairul Nikman menjelaskan, selain membuka bilik gerakan, pihaknya turut memberi arahan supaya jentera di seluruh Demak Laut diaktifkan bermula Oktober ini.

Tegas beliau, beberapa program bakal dilaksanakan dalam masa terdekat ini berikutan sebelum ini terpaksa ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Antara program yang akan dilaksanakan pada Oktober ini ialah Ziarah Kasih dan Kenduri Rakyat.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan majlis usrah setiap malam Khamis di pejabat bilik urusetia di Demak Laut do sini,” tambahnya.

Mengenai ahli AMANAH berdaftar di Demak Laut, beliau berkata setakat ini jumlah keseluruhan ialah seramai hampir 1,000.

“Alhamdulilah…kita yakin Parti AMANAH Negara akan mendapat sokongan daripada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut pada PRN12 Sarawak kelak.

“Ini bersandarkan gerak kerja yang dijalankan selain sambutan yang diterima daripada penduduk di kampung sekitarnya,” katanya lagi.