Malaysia Dateline

AMANAH desak hentikan segera intimidasi sistem kehakiman

AMANAH mendesak kerajaan supaya menghentikan segera intimidasi sistem kehakiman susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki secara terbuka mengumumkan siasatan ke atas Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali jelas menunjukkan pelanggaran kepada Perlembagaan Persekutuan dan pencabulan terhadap kewibawaan sistem kehakiman.

“Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM berhubung siasatan terhadap Yang Arif Dato’ Mohd Nazlan bin Mohd Ghazali atas tuduhan yang dibuat oleh seorang blogger.

“Saya melihat ini adalah satu bentuk intimidasi terancang terhadap Dato’ Mohd Nazlan yang merupakan hakim yang telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC.

“Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan perlindungan kepada keutuhan institusi kehakiman dalam Perkara 125 dengan menetapkan sebarang aduan atau tuduhan berkaitan salah laku hakim dirujuk kepada tribunal kehakiman,” tegasnya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 20 April lalu, penulis blog Raja Petra Kamarudin mendakwa Mohd. Nazlan disiasat berhubung konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali

Menerusi portalnya Malaysia Today, Raja Petra mendakwa Mohd. Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaun.

Ekoran itu, Mohd. Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan yang terkandung dalam artikel yang ditulis oleh Raja Petra bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya dalam kenyataannya berkata, artikel tersebut adalah palsu dan tidak berasas.

Sehubungan itu, Mohamad mendesak kerajaan khasnya Perdana Menteri untuk menghentikan penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM dengan serta-merta supaya negara tidak dimalukan di mata dunia sekali lagi.

“Saya mengajak seluruh rakyat Malaysia dan gerakan masyarakat sivil bersama-sama bangkit mempertahankan kedaulatan undang-undang dan menolak pihak-pihak yang memperalatkan institusi kerajaan,” kata Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi.