Malaysia Dateline

AMANAH desak Israel hentikan tindakan kejam ke atas umat Islam

Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dan perbuatan tidak berperikemanusiaan pasukan polis Israel yang bertindak membaling bom gas pemedih mata dan mengganggu jemaah yang sedang bersolat di perkarangan Masjid al-Aqsa, Palestin baru-baru ini.

Menjelang 10 malam terakhir bulan ramadhan merupakan malam-malam yang penuh barakah dan suci bagi umat Islam yang berpuasa.

Menurut Pengerusinya Datuk Seri Salahuddin Ayub, perbuatan polis Israel bukan sahaja kejam tetapi tidak menghormati budaya dan bulan suci umat islam seluruh dunia.

Perbuatan ini, katanya hanya mencetuskan ketegangan kaum dan agama yang tidak berkesudahan, lebih-lebih lagi pada saat dunia perlu bersatu memenangi cabaran pandemik covid-19.

AMANAH menggesa agar Israel menghentikan tindakan kejam ini dan memberi jaminan keselamatan serta keamanan bagi umat Islam yang melakukan ibadah di Masjid al- Aqsa seperti mana yang telah dinyatakan pendirian Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri.

Pada hari Jumaat yang mulia terakhir bulan Ramadhan, semasa umat Islam Palestin sedang beribadah di Masjidil al Aqsa , Baitul Maqdis, pihak berkuasa Yahudi Israel menyerang dan mengusir mereka keluar dengan menggunakan “shock bombs” dan gas pemedih mata.

Sekitar 170 orang telah tercedera dan puluhan dimasukkan ke Hospital di Baitul Maqdis, Jerusalem.