Malaysia Dateline

AMANAH desak kerajaan siasat aplikasi tidak bermoral

Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan terhadap aplikasi sosial media yang merekrut dan menawarkan gadis-gadis muda bagi tujuan pekerjaan tidak bermoral untuk lelaki yang dipanggil “sugar daddy”.

Timbalan Pengerusi 2 biro tersebut, Shamsul Ma`arif berkata, siasatan perlu dilakukan di bawah Unit Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran dan bahagian anti-maksiat, perjudian dan kumpulan rahsia (D7) untuk menyiasat perkara itu dengan lebih lanjut.

“Kami juga maklum bahawa pihak PDRM akan menggunakan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Ma`arif

Beliau menegaskan pihak berwajib juga perlu segera menutup sebarang aplikasi akaun sosial media yang menawarkan khidmat tidak bermoral, menyekat penyebarannya mahupun memberi promosi mudah agar anak-anak gadis di Malaysia terselamat dari salah laku jenayah kotor ini.

“AMANAH juga mendesar kerajaan agar menyiasat dan siapakah pihak pengendali Sugarbook dan membuat dakwaan tegas di mahkamah jika jelas pihak ini telah melanggar undang-undang.

“Jika benar mahasiswa ini terjerat akibat masalah kewangan sepanjang pengajian, maka pihak kerajaan perlulah membantu semampu mungkin demi masa depan negara.

“Kegagalan kerajaan mengatasi masalah ini akan mengundang masalah moral dan keruntuhan bangsa dan negara,” ujarnya.

Dalam masa sama, Shamsul berkata, para pelajar IPT yang terlibat melakukan perbuatan tidak bermoral perlu diambil tindakan tegas kerana melanggar janji dan sumpah mahasiswa untuk menjaga tingkah laku dan akhlak sepanjang menuntut ilmu.

“Alasan bahawa mahasiswa di IPT tempatan ataupun swasta mengalami masalah kewangan bukanlah alasan mudah untuk terjebak dengan amalan yang melanggar tata kelola dan akhlak yang diajar oleh agama mahupun adab dan kebudayaan Timur yang mulia.

“Kami memohon semua pihak iaitu PDRM, JAKIM, pihak penguasa jabatan agama di negeri-negeri, Kementerian Wanita dan Keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak IPT Awam dan swasta serta warga awam untuk saling bekerjasama bagi mencegah usaha keji ini,” tambah Shamsul lagi.