AMANAH desak Pas Kelantan adakan sidang DUN bincang masalah rakyat

Oleh KIM SYAZIE

AMANAH Negeri Kelantan mendesak Kerajaan Pas Kelantan agar mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyelesaikan pelbagai isu dan permasalahan rakyat negeri itu.

Menerusi satu kenyataan media semalam, AMANAH Kelantan mendedahkan bahawa Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub pada 20 Jun lalu telah berjanji akan memanggil sidang DUN sebaik sahaja pihak kerajaan Persekutuan mengeluarkan tarikh persidangan Parlimen.

Setelah dua hari tarikh persidangan Parlimen diumumkan Pejabat Perdana Menteri, sehingga kini pihak Speaker masih belum membuat sebarang kenyataan sama ada sidang DUN Kelantan akan diadakan atau terus ditangguhkan.

AMANAH Kelantan turut membangkitkan beberapa isu rakyat yang perlu dibincang dan serta diselesaikan menerusi sidang DUN negeri itu.

Antaranya ialah dakwaan pemberian vaksin Covid-19 yang tidak mengikuti fasa sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan berikutan campur tangan politik yang berlaku di sebahagian pusat outreach vaksin sementara yang ditubuhkan di Kelantan.

Masalah bantuan yang tidak sampai ke tangan rakyat yang memerlukan juga ditimbulkan oleh AMANAH Kelantan untuk dibincangkan dalam sidang DUN tersebut kerana kerajaan Pas negeri sebelum ini menyatakan terdapat peruntukan disediakan kepada semua ADUN bagi tujuan tersebut.

Selain itu wujud masalah PdPR yang dihadapi oleh sebahagian besar pelajar di negeri itu kerana kekurangan akses internet dan ketiadaan gajet serta kelengkapan peralatan pembelajaran.

Ketiadaan inisiatif bantuan wajar dari kerajaan Pas Kelantan dalam membantu para pelajar yang mengalami kesukaran untuk mengikuti PdPR itu juga harus dibincangkan dalam sidang DUN.

AMANAH Kelantan mengingatkan para pimpinan kerajaan Pas negeri agar mengotakan janji untuk mengadakan sidang DUN dan bersikap lebih proaktif dalam usaha membantu rakyat negeri itu yang dalam kesusahan.