Malaysia Dateline

AMANAH desak PBB kuatkuasakan gencatan senjata di Gaza

AMANAH Pulau Pinang mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera usahakan gencatan senjata di Gaza dan Israel supaya penderitaan dan kemusnahan pada skala lebih besar dapat dielakkan.

Menurut Pengerusinya, Dr Roslan Ahmad, negara-negara umat Islam dan komuniti antarabangsa perlu bersatu bagi memberi tekanan kepada Benjamin Netayanhu dan mengusulkan resolusi kecaman tindakan ganas Israel di PBB.

“AMANAH Pulau Pinang mengutuk sekeras-kerasnya serangan ganas bertali arus tentera zionis Israel ke atas Gaza menggunakan peluru berpandu dari jet pejuang dan helikopter yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan terkorbannya kanak-kanak, orang awam dan wanita.

“Tindakan biadap zionis Israel ini disedari tercetus apabila mereka ingin merampas rumah puluhan warga Palestine di daerah Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis Timur yang bersebelahan dengan Masjid Al-Aqsa serta menceroboh masjid tersebut, menghalang dan menghalau warga Palestine dari beriktikaf pada 27 Ramadan kerana ingin membenarkan kumpulan ekstrimis zionis menyambut ‘Jerusalem Day’.

“AMANAH Pulau Pinang berpendirian tindak balas HAMAS di Gaza melancarkan serangan balas roket yang dibina tangan sendiri ke atas bandar utama dan lapangan terbang Israel adalah wajar sebagai tindak balas jenayah melampau yang berterusan ke atas Masjid Al-Aqsa walaupun HAMAS menyedari risiko serangan balas Israel yang boleh mengakibatkan rakyat Gaza terkorban serta tanggungjawab mempertahankan Masjid Al-Aqsa dari dicerobohi, ” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu kata Dr Roslan, seluruh umat Islam diseru untuk mempamirkan solidariti dan membantu menghulurkan dana kepada perjuangan rakyat Palestine.

Tambahnya, adalah disarankan negara-negara Islam dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) maupun Liga Arab serta komuniti antarabangsa dapat menghulurkan dana mega bagi pembangunan semula Gaza dari segi kemanusiaan, perubatan, infrastruktur dan sebagainya.