Amanah desak SPRM buka kertas siasatan terhadap MB Johor

Amanah Negeri Johor  mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan kebarangkalian Menteri Besar Datuk Seri Mohd Khaled Nordin terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam kes rasuah hartanah yang melibatkan bekas exco negeri itu Datuk Abd Latif Bandi.

Amanah desak SPRM  buka kertas siasatan terhadap MB Johor

Amanah Negeri Johor  mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan kebarangkalian Menteri Besar Datuk Seri Mohd Khaled Nordin terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam kes rasuah hartanah yang melibatkan bekas exco negeri itu Datuk Abd Latif Bandi.

Justeru Amanah Johor hari ini telah menghantar memorandum kepada SPRM Cawangan Negeri itu untuk menyiasat penglibatan menteri besar dalam kes rasuah hartanah terbesar di negeri itu.

Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan berkata,ika penipuan dan rasuah ini berlaku adalah didalam pengetahuan Khaled maka beliau boleh dituduh sebagai “BERSUBAHAT” manakala jika sebaliknya beliau boleh dituduh “CUAI (NEGLIGENCE)” di dalam melaksanakan tugas beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi Negeri Johor dan juga Pengerusi Majlis Mesyuarat erajaan (MMK) Negeri Johor.

“Amanah Negeri Johor mendesak supaya pihak SPRM membuka kertas siasatan dan melaksanakan siasatan secara terperinci kemungkinan YAB Menteri Besar Johor terlibat dalam rasuah hartanah yang juga melibatkan bekas Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latif Bandi,” ujarnya dalam kenyataan kepada SPRM hari ini.

Sebagaimana sedia maklum Datuk Abd Latif Bandi, bekas Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu, 19 April 2017 yang lalu atas 33 pertuduhan yang membabitkan rasuah hartanah bernilai RM30.3 juta.

Mengikut kertas pertuduhan Datuk Abd Latif Bandi didakwa bersubahat dengan Amir Shariffudin untuk menerima suapan sebagai mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah lot bumiputera kepada pembeli awam serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi projek Eco Botanic, Pulai.

Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Polisi Perumahan Rakyat Johor, bagi kawasan perumahan yang melebihi daripada 5 ekar, 40% daripada unit-unit yang dibina hendaklah dikategorikan sebagai “LOT BUMIPUTERA” dengan diskaun harga 15% daripada harga jualan.

Walaubagaimanapun terdapat kelonggaran dimana jika sekiranya selepas 9 bulan daripada tarikh jualan dibuat atau projek perumahan telah siap 50% jika masih terdapat unit-unit lot bumiputera masih belum terjual maka pihak pemaju boleh memohon kepada pihak kerajaan untuk mendapatkan kelulusan pertukaran atau perlepasan status lot bumiputera.

Proses Operasi Standard (SOP) kelulusan ini adalah setelah pihak kerajaan menerima permohonan daripada pihak pemaju maka Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan akan menyediakan kertas kerja bagi dibentangkan untuk kelulusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hasil Bumi Negeri Johor yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor.

Setelah mendapat kelulusan diperingkat Jawatankuasa Hasil Bumi Negeri Johor, Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan sekali lagi akan membawa kertas kerja ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor yang juga dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Johor.

“Daripada SOP diatas jelas menunjukkan bahawa YAB Menteri Besar Johor terlibat secara langsung didalam mempertimbangan dan meluluskan permohonan penukaran status lot bumiputera daripada pihak pemaju,” ujarnya.

Sebagai rekod pada 19 April lalu Exco Kerajaan Negeri Datuk Abd Latif Bandi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen bersama seorang perunding hartanah Amir Shariffudin atas 33 pertuduhan membabitkan rasuah hartanah bernilai RM30.3 juta.

SPRM pada 20 April juga telah mengenal pasti beberapa kelemahan dalam sistem dan prosedur perumahan Bumiputera Johor, yang dipercayai sehingga berlakunya gejala rasuah dan salah guna kuasa seperti didedahkan Ketua Pesuruhjayanya Datuk Dzulkifli Ahmad.

Beliau dilaporkan berkata akan mengemukakan cadangan-cadangan penambahbaikan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil untuk memastikan sistem, prosedur dan kelemahan-kelemahan itu dapat diatasi agar ia tidak berulang pada masa depan.

Bagaimanapun Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayun pada 25 April dalam kenyataannya dipetik berkata,Pengurusan tanah di negeri Johor sekiranya tidak ditadbirurus secara telus dan mengoptimakan penggunaannya akan memberi kesan buruk kepada ekonomi dan sosial rakyat negeri Johor.

Beliau turut mencadangkan badan-badan audit serta penasihat profesional luar juga perlu dilibatkan seperti Deloitte, Pricewarterhouse Coopers, Malaysian Institute of Accountant, Real Estate And Housing Developers Association M’sia (Rehda), National House Buyers Association (HBA) dan Worldwide Consumers Association Johor dalam usaha memulihkan tadbirurus hartanah negeri Johor.