AMANAH di Pantai Timur perlu personaliti merakyat, ketrampilan dirasai

Oleh ARIF ATAN

Mengetahui lawatan kerja Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan pimpinan utama ke Kelantan, Terengganu dan Pahang baru-baru ini, saya teringat interbiu saya dengan pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, hampir dua tahun lalu.

Fokus perbincangan kami tentang cabaran dan masa depan AMANAH di wilayah yang mana Pas berpengaruh besar.

“AMANAH memerlukan masa yang lebih lama untuk bertapak di kedua-dua negeri ini dan dengan syarat, AMANAH mesti bekerja lebih keras pada masa akan datang untuk mengembangkan pengaruh melalui penubuhan cawangan-cawangan yang lebih banyak dan merekrut keahlian yang lebih ramai,” ujar Dr Mazlan.

Pas menerajui kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu. Calon-calon AMANAH di sini, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), juga ramai yang hilang wang pertaruhan, petunjuk kesukarannya untuk membina pengaruh.

Hendak tembusi kekuatan tradisi Pas-Umno bukannya mudah. Sebelum ini ramai beranggapan, faktor AMANAH bersama pentadbiran kerajaan Persekutuan mungkin boleh membantu mengembangkan kekuatan di Pantai Timur tetapi apabila kerajaan PH tumbang, situasi menjadi berbeda.

Kepimpinan, aktivis dan penggerak AMANAH di sana memikul tanggungjawab berat lagi kritikal menjelang PRU-15.

Sekurang-kurangnya AMANAH sebagai parti Islam progresif dan inklusif dikenali sebahagian besar masyarakat di Pantai Timur, dirasai kewujudannya, hidup di tengah pergolakan denyut nadi rakyat, mempunyai tokoh-tokoh lokal yang dikenali khalayak.

Ya, kata kuncinya, tokoh atau personaliti yang merakyat, dirasai ketrampilannya. Gemblengkan semua potensi dan sumber yang sedikit itu.

Jangan disebabkan adanya perbedaan, sumber minimum itu pun dibazirkan juga. Sesungguhnya masa begitu suntuk.

“Usia AMANAH yang masih baru juga menjadi faktor kekangan kepada parti ini untuk bertapak kerana halangan utama pada masa ini adalah masalah kekurangan tenaga manusia terutama dari segi kepimpinan dan jentera parti,” tambah Dr Mazlan dalam wawancara tersebut.

“Dua elemen ini iaitu kepimpinan yang dinamik dan kekuatan jentera parti adalah faktor yang sangat penting untuk mengukuh dan melebarkan pengaruh parti.

“AMANAH memerlukan lebih ramai pemimpin berlatarbelakangkan agama seperti Ustaz Nik Omar Nik Aziz untuk menyaingi pengaruh Pas yang begutu kukuh di peringkat akar umbi,” ujar Dr Mazlan lagi, menekankan kepentingan AMANAH mengetengahkan lebih ramai pemimpin daripada golongan asatizah.

Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Kelantan ketika pertemuan pimpinan nasional.