Malaysia Dateline

AMANAH digesa segera tentukan status enam kawasan Pemuda di Kelantan

Parti Amanah Negara (AMANAH) diminta membuat keputusan segera untuk menentukan status enam kawasan Pemuda Amanah negeri ini yang digantung menyebabkan perwakilan dari kawasan itu tidak boleh menghadiri Konvensyen Pemuda Amanah Negeri Kelantan Jumaat lalu.

Memetil laporan Sinarharian, Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, enam kawasan tersebut adalah Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Ketereh, Bachok, Kuala Krai dan Tumpat.

“Enam kawasan ini digantung kerana didapati telah melantik ‘bukan ahli pemuda’ iaitu mereka yang sudah melebihi umur 40 tahun memegang jawatan dalam Jawatankuasa Pemuda Amanah Kawasan dalam Mesyuarat Tahunan mereka sesi 2019/2022.

“Selain itu mereka juga didapati melantik bukan ahli pemuda dari kawasan berkenaan sebagai pemegang jawatan dalam Jawatankuasa Pemuda bagi kawasan tersebut.

“Kedua-dua kesalahan ini adalah melibatkan perlanggaran kepada peruntukan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Amanah,” katanya.

“Walaupun ada sesetengah pihak mempertikaikan keputusan ini kerana dibuat agak lewat, namun ianya bukan perkara pokok kerana jika konvensyen itu dijalankan dengan kehadiran perwakilan dari pemuda dari kawasan berkenaan, Konvensyen Pemuda Amanah Kelantan itu sendiri boleh terbatal,” katanya.

Menurutnya, enam kawasan tersebut digantung bagi suatu tempoh sehingga AMANAHA Nasional membuat satu keputusan samada mereka perlu membuat Mesyuarat Tahunan semula atau sebaliknya.

Che Ibrahim turut memberi pendapat, isu seperti ini tidak memerlukan Mesyuarat Tahunan semula, cukuplah sekadar Amanah Nasional mengisytiharkan pemegang-pemegang jawatan tersebut sebagai hilang kelayakan dan tidak berhak menyandang jawatan itu.

“Sementara itu, jawatan tersebut bolehlah diganti atau dilantik oleh jawatankuasa berkenaan secara pemangkuan. Mana-mana ahli pemuda kawasan berkenaan boleh dilantik untuk memangku jawatan tersebut sehingga pemilihan yang akan datang.

“Soal umur pemegang jawatan dalam Pemuda yang lebih daripada 40 adalah sesuatu yang terlepas pandang dan silap faham kerana rata-rata mereka masih baru dalam organisasi politik,” katanya.

Beliau turut memberitahu, hanya kawasan Tanah Merah dan Kubang Kerian yang layak hantar perwakilan ke Konvensyen Pemuda Amanah Kelantan.

Manakala Rantau Panjang, Jeli dan Gua Musang masih berstatus penaja, dan Machang pula ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan.