Malaysia Dateline

AMANAH fokus menang di PRN Sarawak

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak akan memberi tumpuan dan fokus dalam setiap strategi yang dilaksanakan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang dijangka diadakan November depan.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, walaupun AMANAH hanya bertanding di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN, namun pihaknya tetap optimis mampu meraih kemenangan sekali gus mencatat sejarah dalam PRN12 kelak.

“In shaa Allah.. kami akan terus melangkah ke depan walaupun menghadapi berbagai rintangan yang penuh berliku tetapi fokus utama kami adalah untuk menang.

“Justeru, doakan kami kerana doa anda bakal membawa rahmat dan kemenangan buat kami. Tanpa anda siapa lah kami,” ujarnya.

Hud Andri berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan mesyuarat bulanan pimpinan tertinggi AMANAH Sarawak di Kuching, hari ini.

Turut Hadir Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Halil Abang Naili, Naib Pengerusi 1, Abang Mohamad Kerdee Abang Masagus, Setiausaha, Fadillah Sabali serta barisan kepimpinan AMANAH Sarawak.

Beliau seterusnya menggesa agar pemimpin AMANAH di peringkat kawasan dan cawangan supaya mempertingkatkan gerak kerja dalam misi memenangkan calon di DUN masing-masing.

Untuk ke arah itu, jelasnya lagi pihak pimpinan AMANAH negeri sentiasa memberi kerjasama terutamanya dalam memberi pandangan selain akan bersama-sama turun padang bagi menjalankan program dan aktiviti di kawasan.

“Apa yang penting, kita akan bekerjasama dengan jentera di setiap DUN dalam merencana strategi di samping membantu keperluan dalam melaksanakan program di kawasan,” tambahnya.

Mengenai mesyuarat yang diadakan itu, Hud Andri menjelaskan pihaknya kini sedang mengemaskini organisasi secara teratur dan profesional bagi menggerakkan jentera dengan lebih berkesan.

Kata beliau lagi, berdasarkan pengalaman sebelum ini khususnya pada PRN11 dan Pilihan Raya Umum (PRU13)lalu, kegagalan jentera yang tidak teratur adalah satu sebab calon AMANAH gagal pada kedua-dua pilihan raya itu.

“Maka, untuk PRN12 akan datang, saya yakin dengan kekuatan jentera sedia ada bagi melaksanakan gerak kerja di DUN yang ditandingi sekali gus mampu memberi cabaran kepada parti lawan.

“Kesilapan lalu adalah menjadi pengajaran. Yang penting kita akan mencari solusi terbaik mendekati rakyat ataupun ahli parti dan penyokong namun hakikatnya tidak mampu untuk memuaskan hati semua,” katanya.