Malaysia Dateline

AMANAH fokus nak satukan semua pembangkang

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menegaskan bahawa penyatuan kesemua parti-parti pembangkang merupakan perkara terpenting yang perlu digerakkan.

Beliau berkata, AMANAH boleh berbincang dengan mana-mana pihak pun tetapi pembangkang mesti disatukan dahulu.

“Bagi AMANAH penyatuan pembangkang antara yang terpenting. Maknanya pembangkang mesti disatukan dulu. Sambil tu kita boleh berbincang dengan semua pihak tapi pembangkang mesti bersatu.

“Sebelum ini orang panggil konsep ‘Grand Coalition’, lepas itu orang panggil kehmah besar. Tak kisahlah apa pun nama dia, apa yang penting ialah penyatuan pembangkang,” katanya kepada media dalam majlis rumah terbuka AMANAH semalam.

Pada masa sama Khalid memberitahu, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengadakan perbincangan beberapa hari lalu ke arah kerjasama antara parti-parti di dalam PH.

Menurutnya perbincangan itu bagi memastikan PH bergerak bersama menghadapi pilihan raya akan datang.

Mengulas lanjut Khalid berkata, Melayu dan Islam mesti bersatu atas dasar perjuangan untuk menegakkan keadilan dan menentang rasuah.

Beliau berkata, memang ada pihak cuba menuding AMANAH sebagai pemecah Melay, namun tuduhan itu tidak benar kerana matlamat AMANAH adalah untuk menyatupadukan orang Melayu dan Islam mengikut nilai-nilai Islam yang murni.

Beliau turut mengkritik sekiranya ada gabungan yang ditubuhkan atas dasar kaum semata-mata untuk melawan kaum yang lain.

“Itu bukan cara kita. Kita nak bersatu dan bersama kaum lain ke arah kebajikan, bukan ke arah perbalahan,” katanya lagi.