Malaysia Dateline

AMANAH Gedong sedia hadapi PRN-12 Sarawak

Parti AMANAH Negara Cawangan Gedong bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Ini ditegaskan oleh Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Halil Abang Naili ketika mengadakan Program Jerayawara di Dewan Undangan Negeri (Gedong) hari ini.

Beliau berkata, AMANAH Cawangan Gedong kini telah menggerakkan jentera dalam mengatur gerak kerja di lapangan selain mengadakan program bersama penduduk setempat.

Katanya, antara program yang diadakan ialah sesi penerangan kepada ahli selain mendekati rakyat dan pengundi di kawasan terbabit.

“Alhamdulilah, walaupun berskala kecil, tetapi aktiviti yang dilaksanakan ini telah mendapat penyertaan dikalangan pengundi.

“Untuk itu, kita yakin bahawa AMANAH Cawangan Gedong antara kerusi DUN yang mampu memberi saingan getir kepada parti kerajaan sedia ada iaitu Gabungan Parti Sarawak(GPS) pada PRN12 nanti,” ujarnya.

Abang Halil turut mengingatkan kepada ahli-ahli parti supaya menampilkan semangat kerja berpasukan selain sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain.

“Sebenarnya, apabila kita sentiasa bekerjasa, maka segala program dan aktiviti yang bakal dilaksanakan akan menjadi mudah.

“Ini kerana setiap kali melakukan kerja, niat yang baik akan tetap menjadi baik lebih-lebih lagi dalam memperjuangkan hak-hak rakyat di DUN Gedong ini belum mampu dilaksanakan kerajaan sejak hampir 57 memerintah,” tambahnya lagi.

Beliau seterusnya memaklumkan bahawa AMANAH Sarawak kini sedang dalam proses meneliti dengan ketat seseorang calon yang bakal diletakkan di DUN yang ditandingi.

“In shaa Allah…untuk calon di DUN Gedong, kita akan umumkan dalam masa terdekat nanti atau selewat-lewatnya sebelum pilihan raya diadakan,” ujar beliau.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak, Hud Andri Zulkarnain, Pengerusi AMANAH Cawangan Gedong, Koswadi Abang dan seramai 50 jentera parti.

Ini merupakan Program Jerayawara AMANAH Sarawak ketiga yang diadakan selepas DUN Demak Laut dan Sebuyau minggu lalu.