Amanah gembleng tenaga bela pemimpin, ahli berhadapan tindakan undang-undang

Amanah gembleng tenaga bela pemimpin, ahli berhadapan tindakan undang-undang

Parti Amanah Negara (Amanah) akan menggembleng tenaga dengan barisan peguam bagi menggunakan semua ruang dan saluran yang ada dalam membela pemimpin dan ahli parti yang berhadapan tindakan undang-undang sama ada ia berbaur politik ataupun tidak.

Mohamad Sabu

Parti Amanah Negara (Amanah) akan menggembleng tenaga dengan barisan peguam bagi menggunakan semua ruang dan saluran yang ada dalam membela pemimpin dan ahli parti yang berhadapan tindakan undang-undang sama ada ia berbaur politik ataupun tidak.

Presidennya Mohamad Sabu berkata, bantuan guaman yang disediakan parti itu bagi tujuan membela pemimpin dan ahli yang menghadapi mehna dan tribulasi demi mencapai hasrat perjuangan bersama.

Mohamad merujuk kepada perjuangan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman yang diarah membayar saman sejumlah RM500,000 kepada Felda jika gagal melunaskan saman tindakan muflis akan diambil oleh mahkamah.

Begitu juga Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Selangor. Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan kerana mengadakan ceramah agama di negeri itu tanpa pentauliahan.

“Mazlan yang berhadapan tindakan bankrupsi akibat kelantangannya membela peneroka melawan Felda, akan dibela oleh seluruh ahli Amanah, NGO dan orang perseorang bagi menyelesaikan tuntutan bayaran yang diarahkan mahkamah.

“YB Khalid yang didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah Selangor dan telah dijatuhkan hukuman, akan juga dibela melalui saluran undang-undang, diplomasi dan demokrasi. Begitulah juga, anggota-anggota parti yang lain kita akan berusaha untuk membela mereka sekadar termampu yang kita lakukan,” ujarnya.

Hasrat Amanah untuk membela pemimpinnya itu telah dizahirkan ketika Konvensyen Amanah Nasional julung kali diadakan di Shah Alam pada Disember tahun lalu dibuat sejurus usul berkaitan Solidariti Mazlan Aliman yang dikemukakan oleh perwakilan Negeri Sembilan diluluskan dengan sebulat suara.

Hari ini Presiden parti itu menyatakan sekali lagi sokongan terhadap Mazlan.

Sambung Mohamad lagi, beliau mengharapkan sama ada Mazlan atau  Khalid dan lain-lain yang dikenakan tindakan supaya tabah dalam menghadapi segala bentuk cabaran.

“Mereka yang berada dalam perjuangan khasnya dalam parti pembangkang di Malaysia ini akan menghadapi segala bentuk tekanan dan dugaan.

“Marilah kita bertekad untuk melawan tekanan ini dan membela rakan-rakan kita bagi menghadapi mehnah dan tribulasi demi mencapai cita-cita perjuangan,” ujarnya.

TAGS