Malaysia Dateline

AMANAH gesa badan dunia bertindak terhadap hukuman mati pemimpin, penyokong Ikhwan Muslimin

Parti Amanah Negara (AMANAH) menuntut pertubuhan hak asasi dunia memainkan peranan agar keadilan diberikan kepada pemimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin.

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengutuk keras tindakan kerajaan Mesir pimpinan Abdel Fattah Al-Sisi yang telah menjatuhkan hukuman mati kepada 75 pemimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin termasuk sejumlah wartawan atas tuduhan terlibat dengan demostrasi membantah penggulingan Presiden Mohamed Morsi pada 2013 lalu.

Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir berkata, dalam perkembangan terbaru, AMANAH melihat hukuman mati terhadap pemimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin ini, hanya kerana terlibat menganjurkan demonstrasi aman, sebagai tidak lebih daripada tindakan politik semata-mata.

“Sehubungan itu, AMANAH mendesak badan-badan hak asasi dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kesatuan Eropah (EU) untuk turut memainkan peranan agar keadilan diberikan kepada pemimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin yang terlibat.

“Beberapa pimpinan utama gerakan itu termasuk Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie dilaporkan akan dibicarakan semula bulan ini dengan pindaan dan penambahan pertuduhan baharu ke atas mereka.

“Dalam usaha melenyapkan pertubuhan Islam tersohor itu di Mesir dan juga di serata dunia selepas rejim Mesir sebelum ini, mengharamkan Ikhwanul Muslimin dan mendakwa pertubuhan itu sebagai kumpulan pengganas,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.