Malaysia Dateline

AMANAH gesa Hamzah hentikan serta merta siasatan ke atas doktor kontrak

AMANAH mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa sebarang siasatan melibatkan forntliner doktor kontrak dihentikan serta merta.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu difahamkan satu siasatan polis masih diteruskan di PKRC MAEPS pada petang ini.

Sedangkan, katanya, jaminan dan janji oleh Menteri Kesihatan di Parlimen pada 27.7.2021 untuk memastikan tidak ada sebarang tindakan ke atas doktor kontrak ternyata hanyalah omongan.

“Kuasa dan Menteri Kesihatan tidak jujur untuk membela nasib doktor kontrak di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

AMANAH juga menempelak siasatan yang dilakukan di PKRC MAEPS Serdang tengah malam tadi dan ke atas seorang doktor dari Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu semalam.

“Kedua siasatan ini dinafikan hak mereka mendapat akses peguam!” tegas Mohamad.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mengingatkan bahawa perhimpunan #HartalDoktorKontrak yang berlaku Isnin lalu telah berlangsung dengan aman dan tidak ada sebarang sebab untuk apa-apa siasatan ataupun tekanan dikenakan.

“Tekanan ke atas doktor kontrak yang belum berhenti inilah yang akan membawa kepada kelumpuhan sektor kesihatan awam negara,” katanya lagi.

Dalam apa keadaan sekalipun, katanya peguam-peguam KANUN AMANAH bersedia pada bila-bila masa bagi mempertahankan hak doktor muda ini.

Ahli-ahli Parlimen AMANAH mendesak Kerajaan dan pihak berkuasa untuk segera menamatkan apa-apa bentuk intimidasi, tindakan mahupun siasatan ke atas mana-mana doktor kontrak yang telah menyertai protes Hartal Doktor Kontrak pada 26.7.2021.

Kengganan pihak Kerajaan untuk mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ini adalah suatu kegagalan nyata yang perlu ditempelak oleh segenap masyarakat.

Barisan hadapan negara yang kian hari menabur bakti kini sedang disiasat dan ditekan hanya kerana mereka bersuara untuk mendapatkan hak mereka.