Malaysia Dateline

Hentikan sengketa politik, fokus basmi wabak COVID-19, kata Mat Sabu

Parti Amanah Negara (AMANAH) melahirkan rasa kesal dengan tindakan pihak kerajaan pintu belakang yang cuba menghangatkan perbezaan politik dalam suasana negara sedang menghadapi wabak COVID-19.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata, sepatutnya parti politik menggalakan ‘Gencatan Politik’ dan hanya berpolitik selepas wabak COVID-19 ini reda.

Jelasnya, di pihak AMANAH dan Pakatan Harapan, usaha dan gerak kerja kuat akan dilaksanakan hanya selepas negara keluar daripada wabak COVID-19 ini bagi mengembalikan mandat rakyat dan menjatuhkan kerajaan pintu belakang melalui proses demokrasi dan berpelembagaan.

“Buat masa ini, kita hendaklah terus bersabar dan memberikan kerjasama untuk menangani wabak ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Mohamad Sabu berkata demikian berikutan Setiausaha Agung Parti Pribumu Bersatu Malaysia (BERSATU) Dato Wira Marzuki Yahya telah dipecat oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin diikuti pula pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa Ahli Parlimen lain lagi yang mendedahkan bahawa peruntukan Parlimen beberapa Ahli Parlimen pembangkang telah disekat.

“Ini adalah rentetan beberapa tindakan politik tidak sihat setelah beberapa hari lalu mereka gagal menjemput 5 Ketua Menteri atau Menteri Besar negeri-negeri Pakatan Harapan dan Warisan ke mesyuarat khas Ketua-ketua Menteri dan Menteri Besar berkaitan COVID-19 di Putrajaya.

“Kesemua ini bererti mereka lebih mementingkan usaha menguatkan kedudukan kerajaan pintu belakang dan bukannya meletakkan kepentingan rakyat yang lebih utama dalam menghadapi kemelut Covid-19 ini,” tegas beliau.

Terdahulu, Mohamad menyeru semua ahli AMANAH dan penyokong Pakatan Harapan, agar menumpukan sepenuhnya usaha untuk menghadapi serangan COVID-19 yang melanda rakyat Malaysia dan dunia.

Semua pihak mesti bekerjasama sepenuhnya terutama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain lain agensi keselamatan dan penguatkuasaan dalam usaha membendung wabak COVID-19 ini.

“Sepatutnya semua pihak khususnya parti parti politik bersikap sedemikian kerana COVID-19 ini adalah satu ujian besar yang menimpa seluruh rakyat Malaysia dan dunia tanpa mengira bangsa dan agama yang memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak untuk membendungnya.

“Gencatan Politik hendaklah segera dilaksanakan. Setelah negara berjaya meredakan wabak COVID-19 ini dan kehidupan rakyat kembali selamat, barulah kita memulakan kembali aktiviti-aktiviti politik.

“Namun agak malang apabila pihak di sebelah sana terus menerus berpolitik dalam suasana negara yang getir ini,” katanya.