AMANAH gesa pimpinan PH henti polemik peralihan jawatan PM

AMANAH gesa pimpinan PH henti polemik peralihan jawatan PM

AMANAH menggesa polemik berkaitan tempoh peralihan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dihentikan.

Dalam satu kenyataan hari ini, parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu berkata, isu tersebut yang terus dibicarakan secara terbuka boleh menjejaskan muafakat serta fokus kepimpinan untuk membina semula negara ini.

“Polemik ini bukan sahaja akan membuka ruang kepada seteru politik untuk menjadi batu api bahkan turut menjejaskan motivasi setiap anggota parti untuk mengukuhkan gerak kerja di setiap peringkat.

“Apa yang dibimbangi, masing-masing anggota parti komponen PH akan bertegang leher antara satu sama lain dalam isu ini yang mana akhirnya kita tidak ubah seperti menang jadi arang, kalah jadi abu.

“Sehubungan itu, di samping menyokong gesaan Datuk Seri Anwar supaya Tun Dr Mahathir diberikan ruang untuk memimpin, AMANAH juga menyarankan agar setiap pimpinan PH di setiap peringkat tidak menimbulkan semula polemik ini,” tegasnya.

Menurut Setiausaha Agung AMANAH Anuar Tahir, PH mempunyai platform atau saluran dalaman yang menerima serta menguruskan pandangan tersebut jika wujud keperluan untuk menimbulkan persoalan yang kritikal.

“Yakinilah kematangan dan kebijaksanaan para pemimpin tertinggi PH dalam menguruskan perbezaan pendapat dan polemik sebelum ini yang mana telah membolehkan pakatan ini menguasai Putrajaya,” katanya lagi.

Tidak dibincangkan

Sejak kembali menjadi Perdana Menteri pada PRU-14 Mei tahun lalu, Mahathir konsisten menyatakan Anwar akan menggantikannya.

Walau bagaimanapun, tempoh masa untuk peralihan tersebut berlaku dilihat mengundang spekulasi banyak pihak memandangkan Dr Mahathir tidak pernah menyebut akan memegang jawatan Perdana Menteri selama satu penggal.

Semalam, Dr Mahathir berkata Anwar tidak pernah menyatakan hasrat kepadanya untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri dengan lebih awal.

Pada 1 Januari lalu, Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tempoh Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

Sementara itu, dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu minggu lalu, beberapa perwakilan parti tersebut pada sesi perbahasan mengusulkan agar Dr. Mahathir dibenarkan berkhidmat satu penggal penuh.