Malaysia Dateline

AMANAH gesa segerakan bantuan 150,000 komputer riba

Biro Pendidikan AMANAH Nasional, menggesa kerajaan untuk menyegerakan pemberian 150,000 komputer riba yang pernah dijanjikan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2021.

Pengerusinya, Datuk Dr Hassan Bahrom berkata, bantuan tersebut perlu disalurkan secepat yang mungkin bagi memudahkan proses Pembelajaran dan Pengajaran di rumah (PdPR) yang sudah pun bermula.

“Apakah peruntukan itu telah disalurkan kepada mereka yang layak? Kalau belum, bila ia akan dilakukan.

“Bantuan ini wajar disegerakan memandangkan proses PdPR telah pun bermula. Biro Pendidikan menegaskan, lebih lambat bantuan ini diturunkan, lebih ramai murid kita yang akan keciciran dalam pelajaran.

“Biro Pendidikan AMANAH Nasional menyeru agar Menteri Kanan Pendidikan melihat perkara ini lebih tuntas, dan meminta Menteri Kewangan menyegerakan peruntukan ini diturunkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada November lalu, kerajaan mengumumkan akan menyalurkan sebanyak 150,000 komputer riba di 500 buah sekolah rintis, hasil kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).