Malaysia Dateline

AMANAH gesa tugas patuhi SOP tidak dibeban kepada guru

Biro Pendidikan Parti Amanah Negara (AMANAH) mengingatkan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak menyerahkan tugas menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah kepada guru.

Pengerusinya, Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, beban tugas guru akan bertambah seterusnya dan boleh mengganggu fokus mereka dalam membuat persiapan mengajar jika diberikan tugas untuk menguatkuasakan SOP.

Antaranya, kata Ahli Parlimen Tampin berkenaan, seperti menyemak suhu murid sebelum masuk ke kelas atau mengawal penjarakan fizikal semasa murid rehat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar tugas penguatkuasaan SOP di sekolah yang akan beroperasi diserahkan kepada petugas sukarelawan negara, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Penglibatan mereka dalam memastikan SOP dilaksana dengan baik membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengukuhan prestasi murid sebelum peperiksaan.

“Pastinya pengambilan ini akan menambah jumlah perbelanjaan kerajaan, namun ia perlu dilakukan kerana kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang cukup membimbangkan.

“Kita tidak mahu anak-anak berhadapan dengan risiko yang tidak terjangka,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Pendidikan mengambil langkah ‘risiko besar’ untuk membuka semula sekolah dengan SOP yang sangat ketat selepas peperiksaan nasional bagi calon SPM, STPM, SPMV dan STAM telah ditangguhkan terlalu lama.

Mengulas lanjut, Dr Hasan berkata, tugas utama guru adalah melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan serta berkualiti kepada murid terutama yang bakal menduduki peperiksaan dalam masa terdekat.

“Pastinya banyak program yang ingin dilaksanakan oleh guru bagi memantapkan persediaan murid untuk menghadapi peperiksaan,” katanya.

Murid B40

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan Senator Menteri Kanan Pendidikan dan pasukannya untuk memberikan tumpuan membantu murid dari keluarga B40.

Ujarnya, keluarga terbabit terpaksa mencari sumber kewangan dalam memastikan mereka boleh menyertai proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang tempoh PKP.

“Bantuan tersebut haruslah memberi tumpuan kepada memudahkan mereka menyertai PdPR ini dan bukan tindakan menggula-gulakan rakyat.

“Kegagalan kerajaan membantu mereka akan menyebabkan mereka tercicir dari arus pendidikan negara.

“Bagi murid yang masuk alam persekolahan, berpotensi untuk menjadi buta huruf akibat kegagalan kerajaan membantu mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat murid dari keluarga B40 tidak harus diabarkan dalam memastikan guru dan pelajar menempuh proses pembelajaran dengan lebih kondusif.