Malaysia Dateline

AMANAH harap Malaysia pelajari cara New Zealand capai toleransi agama, kaum

Jacinta Arden

Malaysia diharap boleh belajar daripada pengalaman New Zealand tentang bagaimana toleransi agama dan kaum dapat dicapai dengan jayanya melalui peranan ahli politik.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kemenangan besar Jacinda Arden dalam pilihan raya New Zealand memberi mesej menyegarkan ke arah politik yang lebih inklusif dan progresif.

Menurutnya, kepemimpinan Arden yang tegas bagi menghadapi pandemik Covid-19 membawa hasil yang luar biasa kepada New Zealand yang berjaya menangani krisis tersebut.

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH itu berkata, Arden juga menunjukkan kepemimpinan yang hebat melalui pendekatannya yang sensitif semasa menangani pembunuhan 51 orang Muslim di Masjid Christchurch.

Beliau menyifatkan kepimpinan Arden itu sangat menyentuh hati umat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia.

Justeru, katanya, Arden merupakan pemimpin kepada masyarakat berbilang kaum dan inklusif semasa menangani tragedi itu.

Arden yang mewakili Parti Buruh meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum New Zealand semalam dengan memperoleh 49.2 peratus.

Untuk rekod, tidak ada pemimpin yang mencapai majoriti mutlak sejak New Zealand mengadaptasi sistem pemungutan suara proporsional pada 1996, yang membawa kepada penggantian kerajaan pelbagai parti.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata, AMANAH mengucapkan tahniah kepada rakyat New Zealand kerana memilih kembali pemimpin yang cemerlang yang akan menjadi aset besar bagi rantau ini dalam mempromosikan toleransi yang lebih besar dalam menangani ektremis dan prasangka antara kaum dan agama.

“Semoga pandangan inklusif dan progesif Jacinda Adern menjadi sinar harapan bagi New Zealand, rantau ini dan dunia seluruhnya.

“Semoga pemimpin dunia antarabangsa yang lain mencontohi gaya kepemimpinan Jacinda Arden, bahkan Malaysia juga boleh,” tambahnya lagi dalam satu kenyataan hari ini.