AMANAH isi lompang yang ditinggalkan Pas

AMANAH isi lompang yang ditinggalkan Pas

AMANAH berperanan dalam Pakatan Harapan sebagai parti berpaksikan Islam yang amat diperlukan dalam masyarakat majmuk di negara ini, kata Pengarah Strateginya, Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, AMANAH membawa pendekatan Islam yang inklusif bukannya eksklusif dalam usaha mengelak perbalahan agama.

“Orang selalu tanya apa peranan AMANAH dalam Pakatan Harapan? Hadir dan tampilnya Parti Amanah Negara (AMANAH) mengisi lompang dan kekosongan yang ditinggalkan oleh parti lama kami (Pas). Inilah peranan kami.

“Sebenarnya, ini adalah tuntutan pada perjuangan Islam itu sendiri. AMANAH tidak melabel atau menghukum orang dan sifatnya progresif maknanya sentiasa memperbaharui jihad, tajdid dan ijtihad,” ujarnya.

Amanah giat dengan program wacana dan membudayakan dialog.

Katanya, model masyarakat majmuk dapat dilihat pada negara bernama Madinah Al Munawarrah (Bandar Bercahaya) dengan perlembagaan bertulis pertama di dunia.

“Nabi Muhammad menangani masyarakat majmuk dan mengemudi Madinah itu dalam satu kontrak sosial yang pertama di dunia ini (melalui) Sahifah Madinah.

“23 daripada 47 fasal (Sahifah Madinan) bercakap tentang urusan berkaitan bukan Islam,” tambah bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu lagi.

Sehubungan itu, pendekatan Islam yang diketengahkan AMANAH, jelasnya, penting bagi menangani unsur-unsur melampau yang membawa perpecahan agama.

“Tambah pula menjelang pilihan raya ini, saya perhati dan kita saksikan bagaimana isu perkauman dan pertentangan agama akan dijadikan modal untuk menang dan mengekalkan kuasa.

“Sebab itu AMANAH rasa bertanggungjawab meletakkan Islam sebagai rahmah, ehsan, belas, sejahtera untuk semua hinggakan penganut agama lain tidak takut dengan Islam. Mereka rasa selamat dengan Islam,” jelasnya.

Bercakap dalam forum disiarkan Oren TV baru-baru ini, Dr Dzulkefly bimbang dengan gejala pelampau atau fasis Islam yang mulai berputik dan perlu ditangani sebelum menjadi tidak terkawal.

1,670 total views, 2 views today

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS