Malaysia Dateline

AMANAH jangan leka, lawan piagam Pas-Umno ancam perpaduan kaum

Menyedari ancaman besar terhadap perpaduan kaum, AMANAH diingatkan supaya tidak memandang rendah dan meremehkan kerjasama gabungan politik Pas-Umno yang bakal memeterai Piagam Muafakat Nasionalnya, pada 14 September ini.

Pengerusi AMANAH Selangor, Ir Izham Hashim berkata, AMANAH dinasihatkan untuk berhati-hati dan terus memperkemas strategi parti dan tidak mudah terpengaruh dengan agenda perjanjian pembangkang yang dilihat hanya ingin mempolitikkan isu perkauman.

Ini kerana jelasnya, agenda Melayu yang dibawa merupakan senjata berbahaya dan gagasan itu bakal memudaratkan keharmonian dan perpaduan masyarat.

“Jangan terperangkap pada agenda politik pembangkang, tapi pada masa yang sama kita jangan pandang rendah (terhadap mereka).

“Saya tak bimbang dia nak bawa agenda Melayu, saya tak kisah sebab kita tahu agenda mereka ini tak ke mana pun.

“Tapi kebimbangan saya dari segi naratif itu yang sangat bahaya. Gagasan tu sendiri bahaya dari segi kestabilan hubungan antara kaum dalam negara.

“Jadi, jangan ambik mudah gabungan dua parti ini. Kita perlu memperkemas saf kepimpinan di sini dengan menyatupadukan semua rakyat dan memberi fokus kepada usaha melaksanakan program rakyat di setiap negeri,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Kali Ke-3 Kawasan Puchong, di Dewan Serbaguna MPSJ Batu 14, hari ini.

Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Puchong dihadiri ahli berbilang kaum.

Turut hadir, Setiausaha AMANAH Selangor, A.R. Kamarul Hisham; Timbalan Ketua Kawasan AMANAH Puchong, Saadun Zubir; dan bekas Ketua Pemuda AMANAH negeri, Abbas Azmi.

Izham turut menegaskan supaya AMANAH melawan gagasan tersebut dengan menekankan kepada pendamaian antara masyarakat disamping meneruskan usaha melaksanakan agenda untuk rakyat.

“Agenda Melayu yang dibawa merupakan senjata yang berbahaya kepada keharmonian dan muhibah perpaduan. Lihat sahaja kebelakangan ini mereka memainkan agenda perkauman. Dalam kalangan kita, mungkin tak ada masalah tapi bagaimana mereka yang berada di kampung-kampung.

“Saya tengok dia (Pas) sanggup buat apa sahaja asalkan tercapai matlamat politik dia. Jadi, kita kena lawan mereka dengan menekankan kepada pendamaian, harmoni, dan muhibbah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu setiap pemimpin mengambil langkah menjadi pendamai dan saling bekerjasama.

Tambah Izham lagi, kesepakatan empat komponen parti dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) bakal menguatkan kerajaan dalam menghadapi ‘serangan’ gabungan parti pembangkang itu.

Kelmarin, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, turut mengalu-alukan permeteraian piagam antara dua parti pembangkang berkenaan.

Beliau secara sinis berkata, piagam kerjasama itu akhirnya bakal memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang hipokrasi politik yang sedang ditunjukkan oleh kedua-dua parti tersebut.