Malaysia Dateline

AMANAH jangan sesekali terjebak dalam ‘jerangkap kemenangan’

Parti Amanah Negara (AMANAH) diingatkan agar tidak terjebak dalam jerangkap kemenangan selepas berjaya menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, mengagungkan kemenangan dan berbangga dengan kedudukan hanya menyebabkan AMANAH terlibat dalam persaingan politik yang tidak sihat.

“Di sebalik kemampuan dan peranan kita sebagai parti kerajaan, kita jangan terjebak dengan jerangkap kemenangan. Kemenangan PRU lepas bukanlah kemuncak perjalanan hidup kita.

“Keghairahan kedudukan yang ada jangan menyebabkan diri terjerumus ke lubuk persaingan yang tidak sihat seperti cah keting, tikam belakang, cai dan sebagainya.

“Cukuplah sejarah kerosakan negara yang berlaku akibat kepimpinan yang rasuah, birokrat jahat, cerdik pandai membisu, ulama pedagang agama, rakyat jahil dan anak muda hilang keberanian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Konvensyen Nasional 2019 AMANAH, di Pusat Konvensyen (IDCC) Shah Alam, hari ini.

Beliau turut mengakui kerajaan berhadapan cabaran dalam mendepani pertembungan di antara dua kelompok kutub naratif ‘Melayu terancam’ dan ‘kebebasan demokrasi’ yang boleh menjerumus tanah air berada pada ketidaktentuan.

Jelasnya, naratif Melayu terancam pada hari ini merupakan naratif yang direka oleh kelompok politikus yang mahu membina perspektif ancaman dan membangkitkan keresahan orang Melayu demi undi.

“Mereka mahu orang Melayu sentiasa diburu bayang keresahan dan mengejar bayang yang tidak pasti. Naratif Melayu terancam hanya akan menambahkan kegagalan pembinaan negara bangsa sejak awal kemerdekaan.

“Isu agama, bahasa, himpunan anti ICERD, statut Rom dan sebagainya adalah lanjutan keresahan Melayu yang sudah lama.

“Ia diperbaharui oleh aktor-aktor yang silih berganti demi survival politik golongan politikus gagal. Mereka yang menggunakan pendekatan ultra ethno-nasionalisme atau ketuanan bangsa, akan menghakis teras kebangsaan,” katanya.