Amanah jangka 1,000 perwakilan hadiri Konvensyen Nasional Disember ini

Amanah jangka 1,000 perwakilan hadiri Konvensyen Nasional Disember ini
Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir.- Foto Wan Zahari Wan Salleh.

Parti Amanah Negara (Amanah) menjangkakan 1,000 perwakilan dari 156 kawasan yang sah berdaftar di seluruh negara menghadiri Konvensyen Nasional kali ketiga bermula 14 hingga 16 Disember.

Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata konvensyen itu turut memilih Perak sebagai tuan rumah selepas Selangor pada 2016 dan Kedah tahun lalu.

“Jawatankuasa Induk dan Pelaksana konvensyen turut menaruh keyakinan seramai 3,000 pemerhati akan hadir pada konvensyen sebagai tanda meraikan himpunan aktivis dan penggerak parti Amanah.

“Jawatankuasa itu juga menjemput rakan-rakan kepimpinan utama komponen PH iaitu PKR, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), DAP dan Warisan. Turut menerima jemputan ialah rakan-rakan luar negara antaranya Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Partai Solidaritas Indonesia (PKI) dari Indonesia,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat AMANAH hari ini.

Amanah telah mengadakan Pemukiman Tahunan Amanah Nasional di Bangi, minggu lalu.

Tambah Anuar, pemukiman berkenaan membabitkan pembentangan hasil kaji selidik melibatkan 1,000 responden dan telah menggariskan hala tuju baharu Amanah.

Katanya, Amanah akan mewujudkan badan pemantau bebas untuk memantau prestasi menteri, timbalan menteri dan pegawai-pegawai lantikan politik daripada parti Amanah.

“Kedua, kita akan mengkaji proses tambah baik pelantikan lantikan politik dan memastikan keseimbangan antara kalangan profesional dan ahli politik tanpa menjejaskan merit dan kelayakan.

“Ketiga ialah merancakkan kempen untuk mengalu-alukan kemasukan ahli-ahli baru ke dalam Amanah terutamanya daripada Pas, Umno dan pengundi muda,” katanya.-BERNAMA.