AMANAH jawab kenyataan dibuat Dr Mohd Tajuddin

AMANAH jawab kenyataan dibuat Dr Mohd Tajuddin
(kiri) Dr Tajuddin Rasdi dan (kanan) Raja Kamarul Bahrin shah.

ULASAN: Saya sangat hairan dan kecewa dengan laporan apa yang Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi nyatakan di sebuah forum beberapa hari lepas di Bangsar.

Beliau menyatakan dalam PH- AMANAH telah gagal menangani dan menyelesaikan masalah “Islam konservatif” serta Islamophobia sejak Pakatan Harapan – PH menjadi Kerajaan dan itu semua adalah kesalahan AMANAH ! Hanya AMANAH !

Beliau juga menyatakan AMANAH gagal dalam tempoh waktu menjadi Kerajaan, iaitu setahun setengah.

Islamophobia adalah fenomena dunia yang melanda umat Islam yang amat sukar di tangani walaupun oleh kerajaan besar negara Islam lain seperti Turki, Iran dan juga Arab Saudi. Ini adalah kerajaan negara Islam yang hebat dan kaya yang telah memerintah berpuluh tahun begitu lama dengan kekuatan ekonomi serta kewangan yang lumayan.

Untuk Dr Tajuddin mengharapkan satu kuasa luar biasa dari sebuah parti yang baru mengambil alih kerajaan selama setahun setengah, dengan timbunan peninggalan hutang yang tinggi, adalah satu keajaibpan.

Kerajaan Arab Saudi yang kaya dan sokongan kuat negara paling besar ekonomi serta tenteranya dari Amerika Syarikat pun tidak dapat menghalang berbelas rakyat Saudi sendiri mengambil bahagian dalam serangan Pusat Dagangan Dunia New York 9/11 dan juga serangan bersenjata di pengkalan tentera di Amerika juga baru baru ini oleh pelatih tentera Arab Saudi.

Itulah bagaimana sukarnya untuk membendung pengaruh Islam ekstrim untuk ditangani walaupun oleh negara begitu kaya dan hebat.

Dr Tajuddin perlulah berlaku adil kepada kerajaan setahun setengah yang disertai AMANAH.

Pihak yang menyebarkan “Islam konservatif” yang dinyatakan oleh Dr Tajuddin telah berakar umbi puluhan tahun di masjid, surau, kampung, desa serta bandar yang BN- Umno memerintah lebih 60 tahun pun gagal membendung pengaruhnya.

Kerana itulah BN- Umno selepas 60 tahun hari ini telah mengambil pilihan- ” if you cant beat them- join them!”- kalau tidak boleh mengalahkan mereka lebih baik menyertai mereka dalam strategi mereka .Tanyalah Umno.

Saya harap Dr Tajuddin boleh besabar sedikit kerana kami ada cara strategi jangka masa panjang tersendiri dan tidak ada cara mee segera atau “quick fix” masalah kompleks melibatkan hal agama yang sensitif ini.

Rasulullah S.A.W. pun, walaupun seorang Nabi, memakan masa puluhan tahun untuk membentuk serta mengubah umatnya. Islam menggesa kita banyak bersabar menangani masalah yang rumit dengan bijaksana.

Pengalaman parti Dr Tajudin sendiri, ia itu DAP, juga perlu masa mengubah persepsi dan penerimaan rakyat Pulau Pinang untuk merampasnya dari BN – Gerakan.

Saya percaya ia telah memerlukan lebih dari setahun setengah untuk merobohkan benteng dan kubu BN di Pulau Pinang selepas puluhan tahun, tetapi dengan kesabaran dan kebijaksanaan pimpinan kanan DAP akhirnya mereka berjaya. Mungkin Dr Tajuddin perlu meminta sedikit pandangan nasihat dari pimpinan DAP yang berpengalaman dan matang politik. Mereka tidak gopoh dan akhirnya berjaya.

“Rome was not built in one day”- begitu juga kerajaan Pulau Pinang yang stabil hari ini.

Dr Tajuddin juga menuduh seolah- olah pimpinan AMANAH tidak turun ke bawah dan tidak bersama rakyat.

Saya ingin berkongsi dengan Dr Tajuddin sedikit pengalaman kami di Terengganu apabila menubuh AMANAH di sana.

Baik di kedai kopi, di surau, atau kenduri, laungan pengkhianat senantiasa di lempar kepada kami. Pemulauan menjadi kebiasaan hidup harian kepada kami. Kain rentang besar dengan gambar kami dan perkataan “pengkhianat” terdapat di merata-rata tempat.

Tetapi kami tetap berceramah di atas belakang Hilux di pasar tani, pasar minggu dan pasar borong walaupun di kawasan Pas dan Umno. Ramai yang menganggap kami separuh gila berbuat demikian tetapi itulah komitmen perjuangan kami di lapangan.

Kami bukan berceramah mengkritik hanya melalui tulisan akademik dari kerusi empuk bilik pejabat atau rumah. Itulah perjuangan dan pengorbanan kami dari dahulu. Kami kenal di mana pasar dan tempat awam dan senantiasa bergerak. Kami sanggup ke lapangan yang beranjau dan berduri.

Tuduhan AMANAH gagal dan telah kalah dalam menghadapi Islam konservatif selepas setahun setengah adalah suatu tuduhan yang keterlaluan.

Perjuangan politik apakah yang boleh menghasilkan kejayaan dalam waktu begitu singkat ?

AMANAH adalah parti untuk masa hadapan dan kami percaya barisan pemuda kami mampu membawa AMANAH  jauh dengan jenerasi muda akan datang.
Kami tidak memilih jalan yang mudah memasuki parti sedia ada yang di katakan telah “established” kerana AMANAH ada naratif kami tersendiri.

Kami bersedia meneroka jalan jauh yang beranjau demi mencipta matlamat jangka masa panjang Islam yang lebih progresif dan inklusif tanpa perlu menjadi terlalu agresif, melalui pendekatan Rahmatanlilalamin.

Kerajaan PH pun telah menerima secara rasmi konsep Rahmatanlilalamin dan sepatutnya kita bersama sama berusaha ke arah itu. Kita juga ada konsep Kesejahteraan Bersama dan kita perlu juga bersikap tanggungjawab bersama.

Atau adakah Dr Tajuddin beranggapan AMANAH hanya patut tumpu kepada isu Agama sahaja ? Kalau begitu adakah DAP hanya tumpu isu bukan Melayu sahaja ? Kalau begitu Bersatu dan PKR bagaimana pulak ?

Konsep tersebut tidak lagi boleh diterima hari ini dalam PH dan juga oleh rakyat Malaysia baru.

AMANAH akan terus menangani isu Islam melalui program program kami seperti Nunji, melalui Media Orange dan juga Mingguan Amanah selain dari program program lain.

Kami juga perlu bantuan dan sokongan dari Kementrian Komunikasi Kerajaan dan di sini Dr Tajuddin mungkin bolih membantu parti kerdil kami ini kerana Mentri Komunikasi adalah dari parti Dr Tajuddin sendiri ia itu dari DAP. Kami amat mengalu alukan apa jua sumbangan dalam memikul tanggung jawap bersama ini.

Mungkin Dr Tajuddin lebih bernasib baik dengan parti sendiri yang lebih “established” tetapi tidak perlulah memperkecil dan memperlekehkan rakan se angkatan.

Allah memperbagaikan keupayaan makhluk ciptaannya dengan keistemewaannya yang tersendiri. Hari ini mungkin ada pihak yang belum menyerlah dan ada yang hebat.

Tetapi suatu hari dengan kuasa Allah atas makhluknya mungkin akan di tunjukkan hikmahnya mengapa ia takdirkan begitu .

Kerana itu kita perlu banyak kesabaran dalam hidup terutamanya dalam perjuangan seperti yang kita sedang lalui hari ini.

Kalau kita dalam kapal yang sama menempuh lautan bergelora, ianya tidak membantu kalau kita memperlekeh rakan dalam bahtera yang sama yang sedang di lambung ombak.