Malaysia Dateline

AMANAH Johor buat laporan SPRM terhadap Mahiaddin

AMANAH Johor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yasin pagi tadi.

Pengerusi AMANAH Johor, Amninolhuda Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani mengetuai rombongan ke Pejabat SPRM negeri di Tampoi.

Laporan salah laku Ahli Parlimen Pagoh itu susulan sogokan kepada Ahli Dewan Rakyat dalam siaran langsung di televisyen pada 13 Ogos lalu.

“Saya percaya tawaran-tawaran tersebut merupakan suatu bentuk suapan kepada Ahli Parlimen khususnya pihak pembangkang agar memberikan sokongan kepada Yang Berhormat Pagoh untuk mengekalkan beliau sebagai Perdana Menteri.

“Saya juga percaya tindakan tersebut adalah jelas bersalahan dengan peruntukan Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” kata Pengarah Mobilisisasi AMANAH Johor, Onn Jaafar dipetik laporan itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, SPRM diharap melakukan siasatan segera berhubung isu berkenaan.

Turut serta ke SPRM negeri hari ini, Pengarah Mobilisasi Pemuda AMANAH Johor, Azam Mektar.