AMANAH Johor desak SPR jadi ‘pengadil’ bukan pak turut

AMANAH Johor desak SPR jadi ‘pengadil’ bukan pak turut

AMANAH Johor menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berperanan sebagai pengadil yang profesional dan tidak menjadi pak turut pada pihak berkepentingan semata-mata.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, SPR harus memastikan urus tadbir dan integriti proses pilihan raya bermula daripada senarai daftar pemilih yang bersih diutamakan tanpa kompromi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani itu, senarai daftar pemilih mesti mematuhi tatacara yang ditetapkan dengan pengundi didaftar di tempat tinggal mereka manakala pemilih pos perlu mengikut penempatan kem masing-masing.

Mengulas dakwaan wujudnya senarai 1,051 pemilih pos di kem tentera Segamat yang masih belum siap, beliau menyifatkan hal itu sepatutnya tidak berlaku melainkan jika wujud campur tangan pihak berkepentingan.

“Saya begitu terkejut dengan apa yang dilakukan pihak SPR. Kalau ikut amalan biasa seorang pengundi itu mestilah didaftar mengikut tempat tinggal mereka.

“Ini satu perkara yang tidak wajar SPR buat dalam keadaan perlunya satu sistem yang adil sebagaimana perlawanan bola sepak yang memerlukan pengadil yang adil.

“Namun, kita dapat lihat sekarang bagaimana sikap ‘pengadil’ pada ketika rakyat mahukan pilihan raya yang bersih,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Daftar pemilih bulan lalu didakwa mengandungi kemasukan berjumlah 1,051 anggota tentera sebagai pengundi pos di kem tentera Segamat yang hanya dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Senarai tersebut sebahagian daripada 1,139 pemilih pos di Segamat dengan 88 daripadanya lagi adalah pengundi di Pusat Latihan Polis Segamat.

Kem tentera Segamat adalah antara empat kem baharu yang kesemuanya bernilai RM200 juta selain Hutan Melintang, Bera dan Pagoh dengan kos setiap satu kem itu mencecah RM50 juta.

Sehubungan itu, Aminolhuda menuntut SPR kembali berada di landasan budaya kerja yang tidak berat sebelah dengan tidak memasukkan mana-mana nama pemilih yang mencurigakan.

“Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) kata walaupun pejabatnya diletakkan ramai ahli keluarganya, tetapi oleh sebab rumah itu ada, tidak salah walaupun tidak diduduki.

“Kalau berdasarkan kenyataan Menteri Besar Johor itu, masalahnya di Segamat itu, kemnya cuma ada perasmian tapaknya dan gerbang saja. Bangunan lengkapnya belum siap lagi,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 lalu, Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam menang dengan majoriti 1,217 undi menewaskan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk CHua Jui Meng sebagai calon PKR.

P140 Segamat merupakan kawasan campuran dengan 47,009 pemilih berdaftar pada PRU-13 lalu.

Tanpa rela

Mengulas lanjut, beliau berkata, senarai daftar pemilih juga perlu mengelak daripada melakukan pemindahan tanpa kerelaan pengundi seperti berlaku di kawasan Dun yang disandangnya.

“Apabila pengundi mengadu dan kami semak, didapati lebih 50 pemilih telah dipindahkan keluar dari kawasan Dun yang sudah biasa mereka undi ke Parlimen lain sedangkan tempat tinggal mereka masih tidak berubah.

“Ini satu tindakan tidak wajar dilakukan pihak SPR atau pihak berkepentingan yang menggunakan SPR demi kepentingan mereka,” tegasnya.

Walaupun pihak SPR negeri itu datang menyiasat dari pagi hingga ke petang ekoran aduan tersebut, ujarnya, ramai lagi pemilih yang dipindahkan tanpa diketahui oleh pengundi itu sendiri.

“Inilah masalahnya. Tidak adil. Yang buat kerja memindahkan pengundi tanpa mengira kaum ini adalah pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Hanya kerana mereka mahu menang di sesuatu kerusi, mereka pindahkan pengundi-pengundi yang mereka rasa menyokong pembangkang ke tempat yang ramai penyokong mereka.

“Pada masa sama, dimasukkan pula penyokong-penyokong mereka ke tempat yang dia hendak menang. Ini sikap tidak adil dan tidak bertanggungjawab,” tambah Aminolhuda lagi.

9.3
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 9.3
CATEGORIES
TAGS